Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengarah Eksekutif Pusat Tenaga ASEAN, Dr Nuki Agya Utama. Foto: TVS

Infrastruktur grid serantau perlu ditingkat, rapatkan jurang – Pakar

ByMuqri Aziz

KUCHING, 6 Sept: Grid Kuasa ASEAN (APG) dilihat mampu menyelesaikan segala permasalahan dalam cabaran kompleks secara serentak dalam memastikan keselamatan tenaga, kemampuan mampu milik, serta kelestariannya yang dirujuk sebagai ‘energy trilemma’.

Pengarah Eksekutif Pusat Tenaga ASEAN, Dr Nuki Agya Utama berkata, APG dapat menyediakan penyelesaian kepada perkara  ini dengan membentuk hubungan grid di antara 10 negara ahli di dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

“Rangkaian kuasa ASEAN telah dibincangkan sejak tahun 1999, dan perjanjian MOU pertama berlaku pada tahun 2006 – jadi telah berlalu beberapa lama – dan dalam lima hingga tujuh tahun yang lalu, perkembangannya amat pesat kerana minat dan keperluan dari negara-negara ahli untuk bersambung (APG).

“Oleh kerana faktor keselamatan tenaga dan kelestarian tenaga, saya fikir ini adalah sesuatu yang perlu ada dari segi kemampuan mampu milik. Jadi, Grid Kuasa ASEAN akan menjawab tiga trilema ini dengan menjalinkan hubungan di antara 10 negara, kita dapat berkongsi tenaga boleh diperbaharui tempatan dari satu negara ke negara lain dan juga berkongsi beban permintaan serta teknologi kita,” beliau berkata demikian ketika ditemui TVS pada hari pertama Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui edisi ketiga (3.0) di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching (BCCK) pada Rabu.

Menurut Dr Nuki, walaupun tiada jurang yang signifikan dari segi teknologi kuasa, beliau berharap dan mahu semua negara anggota ASEAN untuk meningkatkan serta menambahbaik mutu infrastruktur grid mereka.

“Jadi, dalam konteks kesenjangan, tiada kesenjangan yang signifikan dari segi teknologi kuasa kerana sesetengah negara telah menggunakan jenis teknologi yang sama dengan negara-negara lain.

“Tetapi jika kita tidak menambahbaik mutu infrastruktur grid kita, kita tidak tidak dapat menghantar elektron terutamanya mana-mana jenis sumber tenaga, terutamanya tenaga boleh diperbaharui untuk dipindahkan dari satu negara ke negara lain,” katanya lagi.

Dalam forum tersebut, Premier Sarawak merangkap Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam ucapan pembukaannya menegaskan bahawa kesalinghubungan dan kerjasama antara wilayah menjadi lebih penting bagi bergerak ke arah masa depan yang lebih mampan.

Tambah beliau, Sarawak telah mengorak langkah dalam saling hubungan tenaga melalui sambungan Borneo Power Grid ke Kalimantan Barat pada 2016.

Ujarnya, kejayaan projek tersebut mendorong Sarawak untuk meneroka sambungan yang serupa ke Brunei dan Singapura dan beliau percaya Sarawak boleh menjadi bateri ASEAN yang dapat membantu menghubungkan grid tenaga di rantau ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan