KUCHING, 7 Sept: Festival ‘Busking’ Kuching 2023 merupakan wadah untuk anak Sarawak serlahkan bakat dan sebagai batu loncatan untuk terus melebarkan sayap dalam bidang seni persembahan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata festival yang disertai lebih 30 peserta itu bakal menghidupkan bandar raya ini, malah menjadi tarikan baharu untuk pengunjung.
“Ini merupakan permulaan untuk kita mencari bakat-bakat baru dan kita difahamkan banyak busker yang berkebolehan bukan sahaja di Kuching, tetapi kita akan cari bakat di Sibu, Miri, Bintulu dan Kapit.
“Platform ini adalah untuk penyanyi, penari, pemidato dan artis untuk mengetengahkan bakat dalam menjiwai seni expresi bersifat artistik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, Festival ‘Busking’ Kuching 2023 merupakan cetusan ilham daripada Tamworth Country Music Festival di New South Whales, Australia dan akan menjadi acara tahunan dalam Kalendar Pelancongan Sarawak.
“Kalau kita lihat negara-negara luar seperti Australia, New Zealand dan negara lain mereka mempunyai festival seperti ini dan diadakan dengan berskala besar.
“Mereka mempunyai ribuan peminat dan penyokong yang tersendiri dan dianjurkan ditempat yang begitu luas dan lapang,” katanya.
Begitu juga dengan persembahan pemuzik di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang ditonton oleh ribuan warga kota dan pengunjung.
Festival Busking Kuching 2023 akan diadakan pada 15-17 September 2023 bertempat di empat lokasi berbeza bermula daripada Jalan Main Baazar, Carpenter Street, India Street dan Plaza Merdeka.
Acara akan dimulakan pada 6:30 petang hingga 10:30 malam.
Terdapat tiga kategori yang akan dipertandingkan iaitu Kategori A dibarisi kumpulan penyanyi dan ahli muzik, manakala kategori B dibarisi para penari, artis dan pemidato, manakala kategori ketiga adalah kategori pilihan orang awam.
Juara akan membawa pulang hadiah RM2,000, naib juara RM1,500 dan tempat ketiga RM1,000 manakala hadiah RM500 akan diberikan kepada kategori pemilihan orang awam. – TVS