KUCHING, 7 Sept: Timbalan Peguam Besar Sarawak, Datu Saferi Ali dilantik sebagai Peguam Besar Sarawak bagi menggantikan Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid, berkuat kuasa 7 September 2023.
Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menerusi satu laporan berita hari ini berkata jawatan lama Saferi pula akan disandang oleh Peguam Kanan Sarawak, Datu John Wayne Chamberlin Sirau.
“Simbolik penyerahan tugas dan tanggungjawab tersebut disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki di Bilik Mesyuarat Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia,” katanya laporan berkenaan.
Pada majlis itu, Mohamad Abu Bakar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa, komitmen dan dedikasi Talat dalam menjalankan amanah sepanjang beliau berkhidmat sebagai Peguam Besar Sarawak.
Beliau turut mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada Saferi dan John Wayne.
Sementara itu, Talat dalam ucapannya turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah memberikan kerjasama, sokongan dan kepercayaan kepada beliau selama perkhidmatannya dan berharap agar Datu Saferi dapat memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan sebaiknya.
Hadir sama, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik. – TVS