KUCHING, 7 Sept: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) sentiasa bersedia dalam menyediakan bidang latihan baru selari dengan keperluan dan kehendak industri semasa di Sarawak.
Pengerusinya, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata CENTEXS setakat ini berjaya melahirkan tenaga mahir berkaitan minyak dan gas, elektrik dan kimpalan dan kini bersedia melahirkan tenaga kerja berkaitan industri tenaga hijau.
“Kerajaan sekarang beralih ke sektor tenaga hijau yang merangkumi solar, hidro, angin dan sebagainya. Jadi kita telah beralih ke arah itu juga dengan menyediakan latihan dalam industri fotovolatik, pengeluaran hidrogen dan penyimpanan bateri.
“Kita sudah ada program-program tersebut menerusi kerjasama dengan pelbagai agensi yang lain,” katanya pada sidang media pada Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui (SAREF 3.0) di sini, hari ini.
Tambahnya, rakyat di Sarawak sememangnya memerlukan latihan seumpama ini kerana mereka disifatkan mudah menyesuaikan diri dengan kemahiran yang diperlukan.
“Saya percaya dengan latihan yang CENTEXS sediakan, kita boleh menyokonng pembangunan industri. Cuma yang menjadi kekangan ketika ini ialah sama ada kita mempunyai komuniti yang cukup atau tidak.
“Industri kita sangat besar jadi kita memerlukan ramai orang terlibat dan berminat mengambil peluang ini (latihan),” ujarnya. – TVS