KUCHING, 7 Sept: Bagi memenuhi hasrat Kerajaan Sarawak ke arah pendigitalan, Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) mengadakan Bengkel Pemerkasaan Digital Ekonomi SABERKAS Siri Ketiga.
Menurut Naib Presiden SABERKAS Dennis Ngau, program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran para belia di Sarawak.
“(Bengkel ini) selaras dengan hasrat Premier Sarawak ingin melihat Sarawak sebagai negeri peneraju pembangunan dan amalan kerja secara digital dalam banyak perkara termasuklah dalam bidang berteraskan dengan ekonomi terbaharu khasnya dalam menjadikan Sarawak maju menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penangguhan Bengkel Pemerkasaan Digital Ekonomi SABERKAS Siri Ketiga di sini, hari ini.
Tambahnya lagi adalah baik untuk para belia melibatkan diri dengan SABERKAS.
“Sebab di sini kita akan bersama dengan rakan-rakan pelbagai jenis latar belakang seperti agama, kaum dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menasihati para belia agar terus menekankan betapa pentingnya pendidikan.
Ujarnya, mereka harus mengambil peluang untuk melanjutkan pelajaran lebih-lebih lagi kerajaan Sarawak khususnya telah menyediakan pelbagai kemudahan serta institusi pendidikan seperti Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS). – TVS