KUCHING, 6 Sept: Kerajaan Sarawak akan membawa masuk sebanyak 38 unit Transit Aliran Autonomi (ART) ke negeri ini, sebaik sahaja ujian kenderaan prototaip itu selesai dalam usahanya meningkatkan sistem pengangkutan awam kepada rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia sekali gus akan memberi banyak kemudahan kepada rakyat selain mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering dihadapi masyarakat setempat.
Dalam pada itu Abang Johari berkata, sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), yang dijadualkan mula beroperasi secara berperingkat pada penghujung 2025 akan menyediakan tiga laluan berbeza.
“Tiga laluan itu akan menghubungkan Samarahan ke Kuching.
“Pelaburan kerajaan negeri dalam transformasi pengangkutan awam ini akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Latihan Kejuruteraan Transit Aliran Autonomi (ART) dan Latihan Bukti Konsep (POC) Peringkat 2 di laluan Isthmus Kuching di sini, hari ini.
Ujar Abang Johari, pengangkutan awam ini akan menjadi pengangkutan yang mampu milik bagi golongan yang berpendapatan rendah selain menjadi pengangkutan yang bersifat mesra pelancong.
Dalam pada itu Abang Johari memaklumkan kaedah pembayaran bagi pengangkutan ini akan dilakukan secara dalam talian di mana boleh menggunakan aplikasi S Pay Global.
Abang Johari yang turut menaiki ujian kenderaan prototaip itu nyata berpuas hati terhadap usaha Sarawak dalam meningkatkan pengangkutan awam di negeri ini.
“Hari ini saya rasa begitu selesa walaupun banyak penumpang di dalamnya tadi..tetapi ini hanya pandu uji, banyak penumpang pun ART dapat bergerak dengan baik sekali,” katanya. – TVS