KUCHING, 6 Sept: Pembabitan semua pihak amat penting dalam menjayakan matlamat Kerajaan Sarawak membangunkan industri hijau dan tenaga baharu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan meletakkan komitmen penuh dalam mengimbangi keperluan manusia, alam dan keuntungan bagi memastikan kemakmuran yang berterusan dan mampan.
Sarawak majukan sektor peralihan tenaga serantau secara kesalinghubungan wilayah – Abang Johari
“Tiada siapa boleh atau patut ditinggalkan sama ada dalam kalangan masyarakat, sektor awam atau swasta bahkan ahli politik dan rakyat biasa juga mesti menunjukkan komitmen untuk bergerak ke hadapan dalam sektor tenaga hijau dan boleh diperbaharui.
“Tindakan yang kita laksanakan ketika ini akan memberi impak dan menentukan kehidupan generasi sekarang dan akan datang.
“Kerjasama, komunikasi dan persefahaman adalah penting untuk kita menentukan kejayaan Asia Tenggara dalam bidang ini,” katanya pada Majlis Perasmian Forum Tenaga Lestari dan Tenaga Boleh Diperbaharui Edisi Ketiga (SAREF 3.0) di sini, hari ini.
Abang Johari memberi jaminan bahawa kerajaan pimpinannya amat komited dalam merealisasikan agenda kelestarian dan kesejahteraan.
Menurutnya, Sarawak akan menggunakan sepenuhnya platform seperti SAREF dan juga Kongres Tenaga Hidro Dunia yang akan diadakan di Bali, Indonesia pada Oktober untuk memacu inisiatif berkaitan tenaga.
Sarawak katanya menawarkan peluang dalam industri tenaga baharu kepada mana-mana negara, organisasi atau entiti yang mempunyai agenda dan berfikiran terbuka demi masa depan tenaga mampan. – TVS