Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Dr Abdul Rahman ketika melakukan lawatan kerja ke Lapangan Rekreasi Limbang. Foto: TVS

Pastikan bekalan beras putih tempatan tidak terjejas, susulan kenaikan beras import – Dr Abdul Rahman

LIMBANG, 6 Sept: Agensi dan pihak berkaitan perlu memastikan bekalan beras putih tempatan tidak terjejas susulan kenaikan harga mendadak membabitkan beras putih import baru-baru ini.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kenaikan harga beras import menggusarkan golongan peniaga dan pengguna termasuk di Sarawak.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata, pengguna mempunyai pilihan untuk membeli beras putih tempatan di pasaran.

“Seperti yang dikatakan beras putih import seperti beras basmathi dan sebagainya mengalami kenaikan tetapi beras tempatan yang biasa tidak berlaku kenaikan.

”Masyarakat masih mempunyai pilihan untuk membeli beras putih tempatan dan yang penting kita berharap pihak yang berkaitan dapat memastikan bekalan beras bersubsidi ini tidak terjejas,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Lapangan Rekreasi Limbang hari ini.

Dr Abdul Rahman menjelaskan kenaikan harga beras import itu sememangnya memberi kesan kepada rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah.

“Kita turut berasa gusar dengan keadaan ini kerana beras ataupun nasi merupakan makanan ruji kita di Asia khususnya di Malaysia. Seperti yang kita tahu kenaikan harga membabitkan makanan asas termasuk beras ini amat sensitif bagi masyarakat kita,” katanya lagi.

Sementara itu, difahamkan harga beras putih import di pasaran di negeri ini dijangka naik sehingga 40 peratus berkuatkuasa serta-merta.

Ia adalah susulan kenaikan harga terkini beras putih import daripada RM2,350 kepada RM3,200 satu tan metrik seperti diumumkan Padiberas Nasional Bhd (BERNAS).

Harga baharu berkuatkuasa pada 1 september itu menyaksikan kenaikan RM850 satu tan metrik atau RM0.85 sekilogram.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan