KUCHING, 6 Sept: Kejohanan Futsal Lelaki Terbuka sempena Pesta Simunjan Edisi III 2023 bakal bermula Sabtu ini mempertaruhkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,000.
Pengerusi kejohanan, Mohamad Zaini Morshidi berkata kejohanan kali ini menyaksikan pertembungan 40 pasukan yang bakal berentap di Arena Sri Nancy, Simunjan.
Menurutnya juara akan membawa pulang wang tunai RM4,000, piala dan pingat, manakala naib juara akan menerima wang tunai RM3,000 beserta piala dan pingat.
Seterusnya kata Mohammad Zaini tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima wang tunai RM2,000 serta RM1,000 serta piala dan pingat.
Menjelas lanjut Mohammad Zaini mendedahka himpunan pasukan yang bertanding tahun ini mewakili pelbagai kampung serta kelab-kelab dari Kuching, Samarahan dan kawasan sekitarnya.
“Sambutan menggalakkan diterima pada tahun ini kerana kebanyakan pasukan yang turut serta mewakili pelbagai kelab dan kampung,” katanya kepada TVS hari ini.
Menurutnya, format kejohanan secara liga kumpulan seperti yang ditetapkan sebelum ini.
“Setiap kumpulan menghimpunkan empat pasukan dan hanya dua pasukan teratas layak berentap di peringkat kalah singkir.
“Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada 17 September nanti,” ujarnya.
Menurutnya lagi kejohanan kali ini dianjurkan oleh Saberkas Cawangan Simunjan dengan kerjasama Kelab Sukan Rekreasi Emmanuel Samarahan. – TVS