KUCHING, 6 Sept: “Syukur beliau selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.
Dr Annuar berkata demikian menceritakan detik cemas seorang penumpang wanita yang diserang sesak nafas semasa penerbangan Kuching ke Kuala Lumpur.
Menerusi muat naik di Facebook miliknya, ia berlaku ketika beliau menaiki pesawat MH2521.
“Tiba-tiba ada pengumuman yang bertanyakan jika terdapat pegawai perubatan ataupun doktor dalam kalangan penumpang dalam penerbangan.
“Saya tampil untuk membantu namun pramugari yang bertugas memerlukan saya untuk mempamerkan pengesahan yang menunjukkan saya adalah seorang doktor. Saya turut menjelaskan bahawa saya tidak mempunyainya.
“Saya tetap diperlukan untuk mempamerkan sebarang bentuk pengenalan diri dan ketika itu, saya terus mununjukkan kad kredit yang tertera nama Dr Annuar Rapaee,” katanya.
Kemudian, pramugari yang bertugas terus memaklumkan mengenai seorang penumpang yang mengalami kesukaran untuk bernafas.
Bertindak segera, katanya, penumpang berkenaan mempunyai sakit asma dan memerlukan ‘inhaler’.
“Selepas beberapa kali menyedut ‘inhaler’, penumpang berkenaan masih sesak nafas. Alhamdulillah, pesawat terbabit ada memiliki kit kecemasan yang lengkap dengan nebuliser.
“Selesai diberi nebuliser, penumpang berkenaan kian pulih,” ujar Dr Annuar sambil menambah, empat salinan laporan perubatan turut disediakannya susulan insiden terbabit. – TVS