IPOH, 5 Sept: Seorang pekerja warga asing maut selepas tertimbus di bawah runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Hasan berkata, mayat mangsa ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 12.35 tengah hari.
“Mayat lelaki tersebut didapati berada bersebelahan rangka jengkaut yang tertimbus di bawah runtuhan batu.
“Bagaimanapun, setakat pukul 2.30 petang, pasukan menyelamat masih berusaha mengeluarkan mayat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian runtuhan tersebut yang berlaku kira-kira pukul 10.45 pagi.
“Menurut laporan, terdapat seorang pekerja lelaki warga asing dikatakan tertimbus di bawah runtuhan.
“Polis melancarkan operasi SAR bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Mineral dan Geosains dan agensi berkaitan,” katanya lagi.
Sementara itu, jurucakap JBPM Perak berkata, mangsa dipercayai tertimbus ketika mengendalikan jentera tersebut.
“Operasi mengeluarkan mangsa dihentikan seketika kerana masih terdapat runtuhan susulan,” katanya. – TVS