LIMBANG, 5 Sept: Seorang pemandu maut manakala rakannnya yang juga penumpang parah selepas kereta yang dinaiki hilang kawalan lalu terjunam bawah jambatan setinggi empat meter di Jalan Sagan, Mendamit petang semalam.
Dalam kejadian jam 4.45 petang itu pemandu yang maut ialah Para Jack, 51, berasal dari Kampung Merajang Lubai, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala rakannya 56 tahun berasal dari Temburong, Negara Brunei Darussalam mengalami kecederaan parah di bahagian tulang belakang.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan awal mendapati kenderaan bernombor pendaftaran Brunei itu dipercayai dari Kampung Staie, Mendamit selepas melawat keluarga dan dalam perjalanan balik ke arah bandar Limbang.
“Ketika tiba di lokasi kejadian dan semasa melalui jambatan di kawasan berkenaan pemandu kenderaan dipercayai telah hilang kawalan memandu lalu terbabas dan terhumban ke bawah jambatan yang dianggarkan setinggi lebih kurang empat meter.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu kenderaan disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala penumpang kenderaan mengalami kecederaan parah dan telah dibawa oleh pihak ambulans ke Hospital Limbang untuk rawatan lanjut,” katanya lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987. – TVS