KUCHING, 5 Sept: Pegawai pendakwa dalam perkhidmatan awam Sarawak diingatkan agar sentiasa cakna akan semua perundangan yang berkaitan dengan hala tuju kerajaan negeri dalam usahanya bergelar negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata perkara berkenaan adalah selari dengan dasar kerajaan negeri yang memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu bagi mencapai sasaran berikut.
“Kita sedang memulakan begitu banyak inisiatif baharu seperti ekonomi baharu, ekonomi hijau, semuanya baharu sekarang jadi pegawai pendakwa juga akan perlu mengemas kini diri anda dengan semua maklumat dan undang-undang baharu serta peraturan dan garis panduan baharu yang akan berlaku dengan pantas sepanjang tahun sehingga 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penutupan Kursus Induksi Pegawai Pendakwa 2023 Dan Penyerahan Suratcara Pelantikan Timbalan Pendakwa Raya dan Pegawai pendakwa di Hotel Hilton di sini pada Selasa.
Kursus induksi berkenaan yang julung kali diadakan oleh Jabatan Peguam Besar Sarawak menurut Sharifah Hasidah bertujuan untuk meningkatkan kecekapan serta keberkesanan pendakwa raya negeri ini dan seterusnya telah dicadangkan untuk menjadi kursus tahunan.
Jelasnya lagi, ia signifkan lebih-lebih lagi melihat kepada usaha kerajaan negeri mendapatkan autonomi dalam penguatkuasaan dan pendakwaan undang-undang negeri yang termasuk dalam 13 perkara penurunan kuasa pentadbiran hasil rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Di bawah usaha (rundingan) MA63 yang berjaya, negeri telah diberi kuasa sebagai pendakwa raya menerusi Jabatan Peguam Besar Sarawak bagi kesalahan di bawah ordinan negeri.
“Jadi sebelum ini kuasa hanya terletak pada peguam negara persekutuan. Jadi ini merupakan satu kejayaan besar yang telah diberikan kepada kerajaan negeri Sarawak dan Jabatan Peguam Besar Sarawak,” katanya.
Terdahulu 19 pegawai pendakwa telah menamatkan kursus induksi yang berlangsung selama tiga hari di Kuching baru-baru ini. -TVS