Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri menyampaikan cenderahati kepada Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili sambil disaksikan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee. Foto: TVS

Masyarakat perlu peka taktik terkini ‘scammer’ – Michael Tiang

SIBU, 5 Sept: Masyarakat diingatkan sentiasa peka terhadap perkembangan terkini taktik ‘scammer‘ agar dapat melindungi diri mereka daripada menjadi mangsa.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee berkata meskipun kemajuan teknologi mendatangkan manfaat kepada kehidupan masyarakat ketika ini ia turut menjadi ruang kepada golongan para scammer beraksi.

“Perkembangan teknologi sepatutnya menimbulkan banyak kemudahan kepada kita tetapi penjenayah menyalahgunakan teknologi. Saya percaya tidak lama lagi kita akan menghadapi jenayah kecerdasan buatan (AI).

“Mereka menggunakan teknologi untuk melakukan penipuan melalui semua jenis platform media sosial. Kita perlu mengambil tahu semua taktik baharu oleh penipu dalam talian ini,” katanya ketika berucap di Sesi Townhall mengenai Jenayah Siber di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu juga menekankan keperluan untuk meningkatkan kesedaran penipuan terutamanya dalam kalangan warga emas.

Jelas beliau, golongan ini cenderung menjadi mangsa penipuan kerana mereka kurang mahir dari segi teknologi terutamanya yang melibatkan pautan laman sesawang di media sosial.

“Hal ini kerana anak-anak golongan warga emas kebanyakan tinggal berjauhan dengan mereka, dan mungkin mereka tinggal bersendirian di rumah dan tidak begitu biasa dengan teknologi. Apabila mereka melihat media sosial, mereka hanya klik sesuka hati,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tiang memuji langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak serta kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Bank Negara kerana telah menganjurkan program tersebut.

Beliau berharap lebih banyak program sebegitu dijalankan bagi meningkatkan lagi kesedaran orang awam mengenai taktik-taktik penipuan yang wujud di Sarawak.

Sehubungan itu, beliau berharap 80 orang peserta yang hadir terdiri daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) akan menyebarkan maklumat yang mereka perolehi kepada masyarakat di kawasan mereka. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan