Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemain pasukan Kelantan United FC Jose Elmer Porteria (tengah) merebut bola dengan dua pemain pasukan Kuching City FC Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli (kanan) dan Mohamad Alif Hassan (kiri) pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi. Foto: Bernama

Liga Super: Kelantan United bangkit kecewakan Kuching City

KOTA BHARU, 5 Sept: Kelantan United FC berjaya bangkit untuk mencatatkan kemenangan kedua dalam saingan Liga Super musim ini apabila mengalahkan pasukan tercorot, Kuching City FC 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Perlawanan tertangguh selama sejam 30 minit susulan hujan lebat menyaksikan Kuching City mengejutkan tuan rumah menerusi tandukan penyerang import, Abu Kamara selepas memanfaatkan hantaran pemain pertahananan, Mohammad Dzulazlan Ibrahim pada minit ke-42.

Tersentak dengan jaringan pelawat, Kelantan United, yang meningkatkan tempo permainan, hanya mengambil masa tiga minit untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan penyerang import dari Nigeria, Ismaheel Akinade,hasil hantaran ketua pasukan, Mohd Syazwan Zainon.

Selang tujuh minit kemudian, pemain import dari Filipina, Jose Porteria muncul wira ‘Kijang Hijau’ apabila menghadiahkan gol kemenangan selepas memanfaatkan tolakan Akinade di dalam kotak penalti.

Kejayaan diraih skuad Kelantan United, bimbingan Ailton Dos Santos Silva, menyaksikan mereka menamatkan kemarau tujuh perlawanan tanpa kemenangan untuk kekal di tangga ke-12 liga dengan 11 mata selepas 21 perlawanan.

Kuching City pula terperosok di tangga terbawah liga dengan tujuh mata selepas hanya menang sekali dalam 20 perlawanan setakat ini.- TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan