TANJUNG MANIS, 5 Sept: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mencari kayu berhampiran Jalan Lapangan Terbang Tanjung Manis, ditemukan meninggal dunia oleh pasukan penyelamat hari ini.
Mayat, Affendi Morshidi, 55, dijumpai kira-kira satu kilometer dari jalan utama pada jam 11.40 pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Tanjung Manis, Leftenan (PA) Md Azan Sadie berkata, mayat lelaki itu yang masih dalam keadaan sempurna dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi yang bermula semalam disertai seramai sembilan orang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Tanjung Manis. Kita juga dibantu pasukan bomba, polis dan penduduk kampung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kehilangan Affendi yang berasal dari Kampung Jerijeh Baru, disedari penduduk selepas menemui motosikalnya yang ditinggalkan berhampiran hutan berkenaan.
Susulan itu seramai 11 anggota APM bergegas ke lokasi sejurus menerima laporan kejadian itu pada jam 7.40 malam.
Menurut Azan, mangsa dipercayai pergi ke hutan itu seorang diri dengan membawa beg berwarna merah bersamanya.
“Sehubungan itu, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada semua pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang membantu operasi mencari mangsa,” katanya.- TVS