KUCHING, 5 September: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyarankan pemain industri minyak sawit di Sarawak agar mengadaptasi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata inisiatif itu harus dipertimbangkan oleh mereka bagi memastikan industri tersebut kekal relevan selain selari dengan perkembangan teknologi.
“Saya menasihati mereka yang terlibat dalam industri ini di Sarawak, untuk mengadaptasi teknologi dan persekitaran baharu agar anda boleh menempatkan diri dalam pasaran.
“Industri akan berkembang dan kualiti dan kaedah pekebun mengendali penanaman akan bertambah baik,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengulas berhubung isu kekurangan pekerja dalam sektor berkenaan, Abang Johari meyakini penggunaan teknologi AI berupaya membantu menyelesaikan isu terbabit.
“Saya telah memohon kepada Universiti Swinburne dan juga sektor swasta, seperti anda tahu sekarang boleh gunakan AI dan alat pengesan untuk memetik buah dari pokok.
“Apabila ekonomi sedang meningkat naik, teknologi perlu seiring dan itu akan menjadi industri mampan,” ujarnya. – TVS