SIBU, 4 Sept: Seorang kakitangan awam di sini mendakwa kerugian lebih RM34,000 selepas terpedaya dengan sindiket tawaran pekerjaan dan pinjaman tidak wujud secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, mangsa wanita berusia 30-an itu terjerat selepas melayari laman sesawang dan teruja dengan dengan satu iklan yang menawarkan kerja sambilan pada 18 Ogos lalu.
“Tertarik dengan ‘kerja’ itu, mangsa terus menghubungi nombor yang tertera dalam iklan dan bertanya berkenaan kerja yang ditawarkan daripada Seller Platform Giant.
“Mangsa kemudian dikehendaki membuat bayaran untuk menaikkan rating jualan berkenaan dan akan diberikan komisyen serta pulangan modal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Zulkipli berkata, mangsa telah diberikan beberapa barang untuk dijual dalam talian dengan melakukan tugasan klik paparan barang dalam iklan yang diberikan.
“Mangsa kemudiannya telah menambah modal untuk melakukan
tugasan seterusnya dan memasukkan wang ke akaun yang diberikan bagi tujuan membuat tempahan barangan dan membuat bayaran seperti diarahkan suspek.
“Bagaimanapun, mangsa telah bertindak membuat satu pinjaman secara dalam talian melalui Google kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk melaksanakan tugasan seterusnya utuk mendapatkan komisen jualan.
Menurut Zulkipli, mangsa telah membuat pinjaman sebanyak RM30,000 daripada Syarikat Hasil Mahamas Credit Sdn Bhd dan dikehendaki membuat bayaran pendahuluan.
Dari tempoh 28 Ogos hingga 2 September, katanya, mangsa telah membuat empat transaksi pembayaran berjumlah RM34,306 ke dalam empat akaun yang berlainan namun sehingga laporan dibuat mangsa tidak menerima sesen pun komisen dan pinjaman wang yang dijanjikan.
“Mangsa akhirnya menyedari dirinya telah ditipu dan membuat dua laporan polis pada 3 September dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – TVS