KUCHING, 4 Sept: Trend ancaman jenayah siber menimbulkan kebimbangan walaupun belum mencapai tahap kritikal berdasarkan laporan yang diterima setiap hari.
Menurut Naib Presiden Kanan Bahagian Outreach dan Pembangunan Kapsiti CyberSecurity Malaysia, Leftenan Kolonel Mustaffa Ahmad, perkembangan teknologi mendedahkan pengguna kepada jenayah siber.
“Kadang-kadang dengan peranti yang banyak kita gunakan, ia juga boleh dimanipulasi dengan kod dan perisian hasad yang mampu memberikan kesan kepada peranti pengguna.
“Kesilapan tertekan laman sesawang akan menyebabkan berlakunya kod hasat ini sehingga ia memberi laluan kepada para scammer untuk mengambil duit pengguna tanpa disedari,” katanya kepada TVS dalam Program Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Sarawak di Muzium Budaya Borneo pada Sabtu.
Ditanya mengenai ancaman dan serangan yang masih berlaku walaupun usaha memerangi giat dilakukan, beliau berkata, manusia dikatakan sebagai ‘pautan paling lemah’.
“Dalam keselamatan siber, ada tiga domain iaitu manusia, teknologi dan proses. Kita boleh mengemaskini teknologi dan proses setiap masa namun bagi manusia, ia boleh terjadi dengan ketirisan dengan kesilapan yang tidak disengajakan.
“Para scammer ini bergerak lebih ke hadapan maksudnya apabila kita berada di satu langkah ke hadapan, para scammer ini berada 10 langkah. Dalam keselamatan siber, ia ibarat permainan bola sepak, kita sebagai penjaga gol yang sentiasa menjaga pemain dari mejaringkan bola ke dalam gol,” katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai pengisian Program Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023, beliau berkata antara inisiatif yang dilaksanakan adalah dengan menjemput barisan pakar seperti Bank Negara Malaysia(BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perlindungan Data.
“Bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan dalam perlindungan data, ia merupakan perkara penting kerana melalui ketirisan data tersebut, orang ramai diharap dapat mengesan hubungkait dengan gejala scammer.
“Selain itu di pihak BNM dan PDRM, pengguna dapat didedahkan dengan modus operandi dan akta tertentu yang mana pihak pengguna internet boleh melakukan laporan jika termasuk dalam perangkap jenayah siber ini,” katanya lagi.
Ujarnya lagi, selain barisan pakar, mangsa yang pernah terlibat dalam gejala scam ini juga dijemput bagi menceritakan pengalaman mereka. – TVS