LIMBANG, 4 Sept: Kerap menonton siri WWE bersama ayahnya sejak berusia sembilan tahun mendorong petinju remaja wanita pertama dari Limbang, Karmila Batrisyia Amani Sazali, 16, menyertai sukan tinju yang diminatinya sejak kecil.
Meskipun menyedari risiko tercedera dan dikategorikan sebagai sukan lasak, tidak sesekali melunturkan semangat Karmila untuk menceburi sukan tinju sehingga berjaya menyumbang pingat perak pada Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2023 di Sri Aman pada 20 hingga 26 ogos lalu.
Anak kepada tukang masak, yang mempunyai tujuh adik beradik ini juga bertekad untuk meraih emas pada Sukan Malaysia 2024 (SUKMA 2024) yang akan berlangsung di Sarawak, tahun depan.
“Saya menyertai sukan tinju ini dalam tahun ini 2023, saya ikut Kejohanan Terbuka Sarawak pada tahun ini dan berjaya meraih perak, walaupun baharu berlatih dalam tiga bulan saja.
“Saya minat tinju dari kecil kerana selalu menonton WWE bersama dengan ayah. Pada mulanya hanya mengikuti sukan lain dan apabila mendengar sukan tinju mencari perempuan, saya pun berminat untuk menyertainya,” katanya ketika ditemui TVS ketika sesi latihan di Gelanggang Tinju, Dewan Suarah Limbang hari ini.
Jelas Karmila yang berasal dari Kampung Nauran lagi, dia kini gigih menjalani latihan intensif tiga kali seminggu di Gelanggang Tinju Dewan Suarah Limbang demi mengenggam pingat emas pada kejohanan SUKMA 2024 kelak.
Beliau juga mengalakkan golongan wanita untuk menyertai sukan tinju kerana ia merupakan sukan yang menyeronokkan.
“Kejohanan seterusnya saya akan cuba yang terbaik, saya akan cuba meraih emas dan saya akan berlatih bersungguh-sungguh.
“Untuk wanita di luar sana, jom sertai sukan tinju kerana ia menyeronokkan walaupun sukan tinju ini sukan lasak,” ujarnya lagi.
Seorang peninju muda, Joshua Freedom, 18, menjelaskan minatnya menyertai sukan tinju ini bermula selepas ayahnya bekas seorang tentera pernah bertinju bersama peninju negara Sapok Biki pada 2004.
Katanya, ayahnya pernah seangkatan dengan Sapok Biki dalam sukan tinju dan kerap berlatih bersama ketika masih bergelar tentera.
Joshua yang meraih pingat gangsa, menjadikan Sapok Biki sebagai idolanya dalam sukan tinju dan ingin terus cemerlang dalam sukan tinju hingga ke peringkat yang lebih tinggi di bawah bimbingan jurulatihnya Tony.
“Saya juga salah satu petinju yang telah diajar jurulatih Tony Tuang, sukan tinju baru-baru ini adalah kali kedua saya mengikuti pertandingan ini.
“Pada kali pertama saya mengikuti sukan tinju ini pada pertandingan di Kuching, waktu itu saya juga merupakan petinju yang masih baharu dan boleh dikatakan kurang mahir dan juga kurang berpengalaman.
“Ketika bertanding waktu itu buat kali pertama, saya kalah di pusingan ketiga sebab mungkin saya kurang berpengalaman lawan saya pun waktu itu bukan calang-calang orang. Setelah difikirkan semula saya terus bertanding, berlatih dengan tekun hingga mampu mengenggam gangsa,” katanya lagi.
Joshua juga bertekad untuk memberu kejutan termasuk membawa pulang pingat pada SUKMA 2024 sekiranya terpilih untuk beraksi pada kejohanan berprestij itu nanti. -TVS