KUALA LUMPUR, 2 Sept: Penggiat industri pelancongan khususnya pengusaha hotel dan inap desa digesa supaya memohon dana yang diperlukan melalui pinjaman Skim Infrastruktur Pelancongan (SIP) bagi membangun dan mengembangkan produk mereka.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata pinjaman yang disediakan itu bertujuan untuk membantu syarikat bagi mengembangkan produk seperti premis penginapan pelancongan, kemudahan-kemudahan dan lain-lain projek yang berkaitan pelancongan.
Beliau berkata ia sekali gus dapat meningkatkan serta menambah baik infrastruktur hotel dan inap desa, seterusnya memberi pengalaman bermakna kepada pengunjung atau pelancong.
“Pada ketika ini, pegawai yang bertanggungjawab telah dan sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyemak serta mempertimbangkan setiap permohonan bagi membantu pemain industri mendapatkan bantuan serta sumber yang sepadan dalam proses pemulihan sektor pelancongan.
“Tidak kira sama ada permohonan tersebut melibatkan hotel bertaraf lima bintang atau hotel bajet, saya akan pastikan SIP ini dapat membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi pelancongan,” katanya, dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Pinjaman tersebut disediakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Bank Pembangunan Malaysia Berhad.
Tiong berkata ketika negara berhadapan ancaman pandemik COVID-19, pengusaha hotel turut memainkan peranan dengan menjadikan premis mereka sebagai tempat kuarantin dan dengan adanya SIP, ia membolehkan mereka mengubahsuai premis mengikut keadaan semasa dalam memenuhi permintaan pelanggan.
“Mungkin beberapa hotel dan perusahaan kecil tidak berani mengambil risiko dengan berbelanja besar bagi tujuan pengubahsuaian premis perniagaan masing-masing susulan ketidaktentuan ekonomi semasa. Namun saya yakin, dengan pinjaman kadar faedah rendah yang ditawarkan SIP ini, ia dapat memberi nafas lega buat mereka,” katanya.
Beliau turut menyeru pemain industri pelancongan agar bergerak seiring dengan perkembangan semasa dan sentiasa mendengar aduan pengunjung serta berusaha menambah baik mutu perkhidmatan yang ditawarkan.
Katanya, seruan itu adalah susulan terdapat aduan daripada pelancong asing yang mendakwa perkhidmatan yang ditawarkan segelintir pengusaha tidak menepati piawaian ditetapkan termasuk dalam soal berkaitan kelestarian alam sekitar.
“Terdapat juga beberapa fasiliti yang disediakan dalam keadaan uzur dan tidak selamat digunakan. Saya sekali lagi menggesa para pemain industri pelancongan melihat semula keperluan penting masing-masing demi menarik minat pengunjung.
“Lebih-lebih lagi pada ketika ini Malaysia sedang dan akan menerima lebih ramai pelancong asing terutama dari negara-negara Asia seperti China yang yang memberi sumbangan ekonomi lebih besar kepada negara kita,” katanya.
Pengusaha industri pelancongan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai SIP boleh layari laman web https://www.bpmb.com.my/tourism-2023 atau menghubungi talian hotline: 03-88917492 / 7503 / 7469 / 7480, atau e-mel ke danapelancongan@motac.gov.my untuk sebarang pertanyaan. -TVS