Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol menerima cenderamata daripada penganjur pada Konvensyen Khas SUPP di Kuching pada Sabtu. Foto: Saibi Gi

Media sosial, turun padang penting untuk wakil rakyat – Abdullah

KUCHING, 3 Sept: Wakil rakyat dalam era digital tidak boleh mengabaikan penggunaan pelbagai platform media sosial dalam menunaikan tanggungjawab terhadap masyarakat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.

Menurutnya, wakil rakyat dan pembantu pusat khidmat harus peka dan kerap memantau platform media sosial yang popular seperti Facebook kerana masyarakat diwakilinya mungkin menyiarkan aduan atau rungutan mereka melalui saluran media sosial.

“Media sosial juga boleh digunakan oleh wakil rakyat sebagai saluran menyalurkan pelbagai maklumat penting yang melibatkan kebajikan masyarakat atau status pelaksanaan pembangunan di kawasan diwakili,” katanya ketika ditemui pada Konvensyen Khas Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini pada Sabtu.

Konvensyen Khas SUPP yang diadakan sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka itu dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Majlis berkenaan turut dihadiri Presiden SUPP Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata wakil rakyat juga sering menggunakan media sosial untuk mengukuhkan populariti politik.

Bagaimanapun katanya, wakil rakyat harus berhati-hati supaya masyarakat tidak cepat muak atau bosan dengan karenah wakil rakyat yang banyak cerita ‘sensasi atau bercakap’ kerana apa yang lebih penting adalah melaksanakan tanggungjawab dengan baik di kawasan masing-masing.

Beliau berkata walaupun peranan media sosial penting bagi tujuan publisiti dan sebagainya, wakil rakyat tidak boleh mengenepikan lawatan ke kawasan dan berjumpa dengan penduduk.

“Turun padang melawat sendiri ke kawasan untuk lawatan kerja masih diperlukan kerana masyarakat diwakili masih mahu melihat, bersemuka dan berinteraksi dengan wakil rakyat mereka,” tegasnya.

Mengenai perkongsian pada konvensyen khas itu, beliau berkata beliau diminta penganjur untuk memberi tumpuan tentang perkara atau kaedah berkaitan dengan peranan pelbagai platform media sosial bagi tujuan aktiviti politik dan khidmat masyarakat.

Beliau juga diminta berkongsi tentang data atau maklumat terkini dan kajian masyarakat berkaitan dengan suasana politik terkini terutama penglibatan dan penambahan pengundi baru dalam kalangan generasi muda. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan