KUCHING, 3 Sept: Bandar raya ini akan dipromosikan sebagai destinasi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa menerusi penganjuran pelbagai acara, kata Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak berkata, ke arah itu antara yang dilaksanakan termasuk DBKU-CFA International Cat Show 2023.
Katanya, pertunjukan itu menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh pecinta haiwan jinak itu dari seluruh dunia
“Ia membolehkan Kuching memperkasa dan meningkatkan industri pelancongan dan tarikannya ke pasaran domestik dan antarabangsa serta mempromosi, merangsang dan memasarkan Muzium Kucing DBKU sebagai destinasi pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan DBKU-CFA International Cat Show 2023, di Majma Mall, Kuching di sini hari ini.
Turut hadir Puan Sri Datuk Amar Juma’Ani Tun Tuanku Bujang yang merupakan isteri kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Datuk Bandar DBKU, Hilmy Othman.
Sementara itu, Abdul Rahman menambah, Bandaraya Kuching berpotensi menjadi antara destinasi pelancongan terbaik dunia kerana mampu menawarkan pengalaman unik.
“Saya percaya Kuching boleh menjadi antara destinasi pelancongan terbaik di seluruh dunia kerana mempunyai banyak sejarah, alam semula jadi, produk dan aktiviti yang boleh diperbaiki kerana sebagai pelancong, mereka bukan sahaja mahukan destinasi tetapi mereka mahu merasai pengalaman,” tambahnya.
Sementara itu, Abdul Rahman turut mencadangkan minggu pertama September dijadikan tarikh bagi penganjuran tahunan DBKU-CFA International Cat Show 2024.
DBKU-CFA International Cat Show 2023 merupakan acara tahunan anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang berlangsung selama dua hari bermula 2 September.
Acara ini menyaksikan 33 peserta dari Sarawak mengambil bahagian melibatkan 77 ekor kucing yang bertanding dalam kategori Best Championship Class, Best Premiership Class, Best Kitten Class, Best Household Pet Class dan DBKU Best Choice in Show. – TVS