KUCHING, 3 Sept: Seekor kucing baka ‘maine coon’ bernama Kiron menjadi tumpuan pengunjung pertunjukan kucing DBKU-CFA International Cat Show 2023.
Pemiliknya, Sufian Mohat dari Limbang berkata, berat kucing itu yang mencecah 13 kilogram (kg) menjadi faktor Kiron popular.
Katanya ada yang sanggup hadir semata – mata untuk melihat kucingnya.
“Saya tidak terkejut kerana kucing baka ini merupakan antara yang terbesar di dunia.
“Kiron kini berumur dua tahun dan mungkin boleh membesar sehingga 18 kg apabila mencecah usia lima tahun nanti,” katanya.
Sufian ditemui TVS ketika menyertai DBKU-CFA International Cat Show 2023 di Majma Mall, di sini hari ini.
Dedah Sufian, ini merupakan kemunculan pertama Kiron pada pertunjukan itu dan si comelnya mendapat tempat kedua terbaik bagi kategori Best Premiership Class.
DBKU-CFA International Cat Show anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berlangsung selama dua hari bermula Sabtu dengan 33 peserta dari Sarawak mengambil bahagian melibatkan 77 ekor kucing.
Peserta berentap dalam beberapa kategori seperti Best Championship Class, Best Premiership Class, Best Kitten Class, Best Household Pet Class dan DBKU Best Choice in Show.
Majlis penutupan diserikan dengan kehadiran Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang yang merupakan isteri kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Datuk Bandar DBKU, Hilmy Othman. – TVS