Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jenazah enam beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Segamat-Kuantan dekat Taman Yayasan, Segamat petang semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ubudiah dekat Parit Jawa semalam. Foto: Bernama

Johor sedia bantu anak sulung mangsa kemalangan maut enam sekeluarga

ByBernama

JOHOR BAHRU, 3 Sept: Kerajaan Johor bersedia membantu remaja lelaki yang kehilangan ibu bapa dan empat adik beradiknya akibat kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Jumaat lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kisah tragis itu memberi kesan kepadanya apatah lagi ibu bapa kepada Abdul Rahman Amir Ruddin,19, iaitu mangsa kemalangan Amir Ruddin Ismail, 46, merupakan imam di sebuah masjid di Kluang manakala Norahimah Noor Muhammad, 43, guru agama di sebuah sekolah agama di Felda Kemedak, Segamat.

“Semua pasti mengetahui berita kemalangan lori treler yang mengakibatkan kematian enam sekeluarga semalam (Jumaat). Suaminya seorang imam (Amir Ruddin) dan isterinya (Norahimah) seorang guru KAFA… kedua-duanya amat dekat di hati saya sebab mereka adalah kakitangan di bawah portfolio saya.

“Pada masa sama, kita akan bantu anak muda ini (Abdul Rahman) sekiranya ada bantuan yang dapat kita usahakan, kita juga tadi (semalam) serahkan sumbangan tanda berkongsi kesedihan,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook malam tadi.

Semalam, Mohd Fared bersama-sama Pegawai Daerah Muar Hasrin Kamal Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Balang Selamat Takim melawat Abdul Rahman di Kampung Parit Lapis, Parit Jawa, Muar.

“Kita bacakan tahlil dan doa tadi… semoga roh kesemua Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat Allah. Amin.

“Masih dalam keadaan terperanjat dia (Abdul Rahman) tapi dia pemuda yang kuat. Kita doakan dia tabah atas ujian yang sangat besar,” katanya.

Empat adik-beradik Abdul Rahman yang meninggal dunia akibat kemalangan itu ialah Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5, setelah kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori.

Seorang lagi mangsa Abdullah Amir Ruddin, 15,  yang mengalami kecederaan teruk masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Segamat dan kini ditidurkan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan