KUCHING, 3 Sept: Pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bertanding di kesemua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) diyakini akan mewujudkan saingan sihat dengan komponen parti politik dalam Kerajaan Perpaduan.
Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, perkara itu dapat dilihat selepas Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan pendirian untuk mempertaruhkan calon di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
GPS bertanding semua 82 kerusi pada PRN akan datang – Abang Johari
Jelasnya, persaingan sihat itu juga sebagai memberi isyarat supaya kedua-dua pihak memastikan keutuhan gabungan Kerajaan Perpaduan.
“Ini bermakna Pakatan Harapan (PH) di Sarawak dan GPS akan bersaing secara sihat untuk memastikan sistem demokrasi terus subur.
“Kerusi yang akan dimenangi akan dihormati kerana diperolehi secara demokrasi, dengan bertanding sesama mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abang Johari mengenai perkara itu semalam.
Sementara itu, Awang Azman berkata, landskap politik di Sarawak berbeza dengan di peringkat nasional.
Oleh yang demikian, beliau menjangkakan perkara sama juga akan berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Ia bergantung kepada perundingan dan suhu politik ketika itu,” katanya.
Pada PRN 2021, GPS menang 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – TVS