DARO, 3 Sept: Daerah ini akan diletakkan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) menjelang 2030, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau yang juga Premier Sarawak berkata, langkah itu bertujuan untuk merancakkan pembangunan Daro dengan pelbagai projek yang sedang dan akan dilaksanakan.
“Daro akan disepadukan (secara) menyeluruh di bawah RADDA.
“Ini akan merancakkan ekonomi dan menjadikan kawasan ini berpotensi meningkatkan industri pertanian dan makanan yang menjadi salah satu eksport Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Daro 2023 dan Majlis Penyerahan Tapak Projek Rakyat Daerah Daro di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Sementara itu Abang Johari memberitahu pembangunan Daro juga akan dirancakkan dengan pembesaran Pekan Baru Daro yang lengkap dengan jalan raya yang luas serta dapat dihubungkan dengan daerah-daerah berhampiran.
“Ini merupakan pembangunan bersepadu yang menyeluruh oleh RADDA (yang membabitkan) daerah di Bahagian Mukah dan Sarikei,” katanya.
Abang Johari turut memaklumkan projek lain termasuklah pembesaran jambatan hingga ke Daro sepanjang 6.8 kilometer (KM) selain projek jalan raya berkembar di Pulau Bruit yang akan disambung ke Tanjung Manis.
“Kedua – dua kawasan ini dekat, apabila adanya jambatan (penduduk) akan dapat menikmati limpahan pembangunan yang berlaku di Delta Rajang,” tambahnya.
Abang Johari turut memaklumkan projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
“Kita perlu membina jalan seluas 60 meter (berbanding) 30 meter yang dicadangkan kerana dalam tempoh lima ke 10 tahun, kenderaan akan bertambah,” katanya. – TVS