MIRI, 3 Sept: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri mencadangkan supaya kerajaan menghidupkan semula perkhidmatan Feri Malaysia yang pernah beroperasi sekitar 1980-an.
Cadangan itu kata pengerusinya, Mohammad Hafidz Rohani bagi memeriahkan lagi industri pelancongan di Sarawak.
“Operasi feri itu akan memberi lebih pilihan kepada penduduk di Semenanjung Malaysia untuk datang ke Sarawak selain menggunakan laluan udara,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mohammad Hafidz berkata, cadangan itu juga diusulkan selepas mendapat maklum balas ahli persatuan yang mahu melihat industri pelancongan Sarawak terus berkembang.
“Industri pelancongan menggunakan karavan yang semakin mendapat tempat di Semenanjung Malaysia juga akan dapat diperluaskan di Sarawak,” katanya.
Pada masa sama katanya, pengunjung juga akan dapat menikmati keindahan di Borneo terutamanya Sarawak dan Sabah dalam tempoh yang lebih panjang.
“Mereka juga akan dapat memandu di laluan Lebuhraya Pan Borneo serta singgah di pekan-pekan kecil yang pada akhirnya akan membantu industri agropelancongan tempatan,” tambahnya.
Sementara itu, Setiausaha DUBS Cawangan Miri, Abdul Razak Joni berkata, sekiranya perkhidmatan feri itu kembali, ia akan menjimatkan kos pengunjung yang berkeluarga untuk melawat Sarawak dan Sabah.
“Perlaksanaan semula Feri Malaysia seperti pada 1981 sehingga 1984 akan merapatkan lagi proses integrasi nasional dan memberi pilihan lebih banyak kepada keluarga untuk menikmati keindahan Sarawak dan Sabah dengan kos yang lebih murah.
“Industri logistik juga mungkin akan dapat berjalan dengan mudah dan pantas dan mampu memberikan kos yang lebih efektif,” ujarnya. – TVS