Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di lapangan Terbang Tawau di sini hari ini bagi memulakan pengembaraan yang julung kali diadakan dalam mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak. Foto: Bernama

Agong, Permaisuri berangkat tiba di Tawau untuk Kembara Kenali Borneo

ByBernama

TAWAU, 3 Sept: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di lapangan Terbang Tawau di sini hari ini bagi memulakan pengembaraan yang julung kali diadakan dalam mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak.

Kembara Kenali Borneo pada 3 hingga 13 September ini bermula dari Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Kuching, melibatkan jarak perjalanan lebih 2,154 kilometer dengan melalui Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei, memberikan peluang keemasan bagi rakyat di kedua-dua negeri untuk beramah mesra dengan pasangan diraja dan delegasi.

Pesawat membawa Seri Paduka berdua yang berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang mendarat pada pukul 1.50 tengah hari, sebelum Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, dengan ditemani isteri masing-masing.

Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan melalui Kawalan Kehormatan Setempat daripada Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (26 RAMD).

Mufti Kerajaan Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar membacakan doa bagi memohon keselamatan Seri Paduka berdua serta para hadirin, sebelum pasangan diraja bersama delegasi berangkat menuju ke hotel penginapan.

Agong dan Raja Permaisuri dijadual sertai ‘Kembara Kenali Borneo’ bermula 3 September

Sebelum meninggalkan Lapangan Terbang Tawau, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan bergambar bersama 40 kanak-kanak daripada Tadika Kemas dan Perpaduan di daerah ini, yang berpakaian tradisional pelbagai etnik.

Al-Sultan Abdullah yang memandu sendiri kereta dengan ditemani Tunku Azizah, turut berkenan beramah mesra, bersalaman dan berswafoto dengan orang ramai yang menantikan keberangkatan Seri Paduka berdua di sekitar lapangan terbang itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berangkat ke Majlis Pelancaran Kembara Kenali Borneo dan Santapan Malam Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Tawau di sini malam ini.

Kawasan di sekitar Tawau kelihatan meriah dengan kibaran Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah bagi menyambut keberangkatan tiba pasangan diraja yang terkenal dengan sikap rendah hati dan mesra rakyat itu.

Agong dan Raja Permaisuri dijadual sertai ‘Kembara Kenali Borneo’ bermula 3 September

Tawau, yang dikenali sebagai ‘Bumi Peladang’ terletak di sebelah Pantai Timur Sabah iaitu kira-kira 500km dari ibu negeri Kota Kinabalu, dan merupakan bandar ketiga terbesar di negeri ini, selepas Kota Kinabalu dan Sandakan.

Mengikut data Jabatan Perangkaan pada 2020 daerah Tawau mempunyai 372,462 penduduk dengan keluasan 196 km persegi. Penduduk Tawau majoritinya terdiri daripada suku kaum Bugis, Bajau, Suluk Ida’an, Tidong, Cocos, Murut dan Lun Bawang.

Sebahagian besar daripada kawasan tanah tanah daerah Tawau adalah kawasan perladangan yang banyak ditanam dengan tanaman kelapa sawit dan koko, dengan kebanyakan penduduknya bekerja di ladang kelapa sawit.

Semasa di Sabah bagi tempoh 3 hingga 7 September, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta rombongan dijadual singgah di lapan daerah lain iaitu Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kundasang, Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan