KUCHING, 2 Sept: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mempertahankan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyekat beberapa laman web dan portal berikutan melanggar etika dan undang-undang sedia ada.
Beliau menegaskan setiap tindakan SKMM berpandukan kepada landas undang-undang dan seterusnya menyerahkan kuasa pengadilan kepada pihak mahkamah bagi membuat keputusan lanjut.
“Baru-baru ini ada pihak yang menegur SKMM kerana seakan-akan mengekang akses kepada beberapa laman web atau pun kandungan yang mana saya dapati SKMM ada keluarkan beberapa kenyataan yang mengatakan mereka berpegang teguh kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sebarang tindakan oleh SKMM adalah berpandukan kepada undang-undang. Ada beberapa individu yang laman web mereka telah disekat, maka kita serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri rakaman program Dialog TVS di Kuching, hari ini.
Fahmi dalam pada itu menegaskan selagi akta berkaitan terpakai di negara ini beliau percaya tindakan SKMM adalah berlandaskan undang-undang.
Fahmi menambah, perkara berkenaan adalah dinamik dan pihaknya sentiasa terbuka menerima kritikan, pandangan, saranan dan cadangan, namun turut menegaskan tidak akan sesekali berkompromi dengan laman web, portal atau kandungan media yang mengapikan-apikan isu perkauman dan agama.
“Mungkin ada sesetengah orang tak faham bahawa tindakan yang diambil setelah aduan daripada orang awam dan laporan polis yang mana tindakan itu perlu diambil bagi mengekang daripada maklumat yang tidak benar daripada tular.
“Perkara yang paling kita khuatiri ialah sentimen kaum, agama dan institusi Diraja (3R),” jelasnya bagi mengulas satu kenyataan oleh pemantau media global, Reporters Without Borders (RSF) pada Jumaat yang mengecam dan meminta SKMM berhenti menyekat laman berita yang menerbitkan kandungan mengkritik kerajaan. – TVS