KUALA LUMPUR, 2 Sept: Persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan gerakan masyarakat sivil, perlu bergerak secara sinergi dalam usaha membantu kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar.
Timbalan Presiden Benevolent Malaysia, Khalid Al Walid Mustafa Kamil berkata, isu yang timbul hari ini ialah, apabila mereka bergerak secara sendiri dan bukan secara kolektif, dan ini mengganggu usaha dalam membasmi kemiskinan tegar.
“Kerja menoktahkan kemiskinan bukan kerja satu hari atau satu malam, dan bukan juga kerja berseorangan. Kerajaan tidak mampu menoktahkan kemiskinan kalau tiada yang sambut dari bawah.
“Oleh sebab itu, sektor korporat, NGO dan pihak berkaitan perlu tampil ke depan, tetapi masalah utama ialah masing-masing buat kerja dan aktiviti masing-masing… hari ini bukan hari tentang siapa superhero tetapi hari ini hari kita bersinergi dan bergerak secara kolektif, dalam menoktahkan kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk Menoktahkan Kemiskinan: Peranan Sektor Ketiga, yang disiarkan di Bernama TV, semalam.
Khalid Al Walid berkata, kesemua pihak ini, seharusnya menjadi menjadi ejen mata dan telinga kepada kerajaan, kerana mereka inilah yang berada di akar umbi yang melihat bagaimana kesengsaraan masyarakat serta memahami rintihan mereka.
“Mereka boleh menggarap dan menyampaikan idea bernas dalam menyampaikan input kepada kerajaan, supaya misi menoktahkan kemiskinan seperti yang diimpikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat tercapai.
“Mereka ini juga perlulah proaktif, bukan hanya menunggu arahan daripada kerajaan bahawa dana sudah ada atau geran sudah sedia, baru nak bertindak,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, sebagai sebuah yayasan dengan pengalaman 33 tahun berada di tengah gelanggang, program-program bantuan orang miskin yang dilaksanakan, tidak melibatkan karenah birokrasi.
“Program kita berdasarkan dapatan daripada pelajar universiti yang turun ke bawah memilih kumpulan sasar dan perkara utama yang kita nilai apabila kita sudah kenal pasti individu itu, ialah dengan melihat rumahnya… kalau rumah tidak selamat untuk diduduki, hari itu juga kita runtuhkan dan bina rumah baharu.
“Sebegitu beraninya kita terjun dan terus buat tiada seminar, tiada mesyuarat, tiada bincang, kerana kalau mekanisma kerajaan biasanya kena isi borang dahulu, hantar pula kepada ketua kampung kemudian mesyuarat, lepas itu hantar ke penghulu dan sebagainya, akhirnya tiga tahun berlalu permohonan tidak berjaya pula… melalui pendekatan kita ini, dalam setahun kita boleh bina 1,000 unit rumah murah,” katanya.
Justeru Zainal berkata, satu konvensyen menoktahkan kemiskinan peranan sektor ketiga, akan diadakan pada 17 Oktober ini, bagi menghimpunkan seberapa banyak idea dalam kalangan anak muda dan menyusun strategi bagi mencapai misi mereka.
“Untuk tahun ke-33 penubuhan yayasan ini, kita sudah mula ‘dihurungi’ anak-anak muda untuk terlibat dengan sukarelawan… kita nak seru kepada mereka yang ada idea, yang ada rangka tindakan dan sebagainya, untuk hadir beramai-ramai ke Movenpick Hotel and Convention.
“Kita mahu ambil peluang sambutan Hari Kemiskinan Sedunia pada 17 Oktober, untuk kita berhimpun dan gerakkan anak muda bagi membasmi kemiskinan bersama-sama,” katanya. -TVS