BANGKOK, 2 Sept: Raja Thailand Maha Vajiralongkorn hari ini memperkenankan anggota Kabinet baharu Perdana Menteri Srettha Thavisin, beberapa bulan selepas Pilihan Raya Umum 14 Mei.
Perkara itu diumumkan dalam Warta Diraja pada Sabtu.
Perdana Menteri Thailand ke-30 Srettha juga memegang jawatan menteri kewangan, satu langkah untuk memulihkan ekonomi kerajaan.
Kabinet Srettha mempunyai enam timbalan perdana menteri iaitu Phumtham Wechayachai, Somsak Thepsuthin dan Pranpree Bahiddha dari Parti Pheu Thai.
Timbalan perdana menteri yang lain ialah Anutin Charnvirakul dari Parti Bhumjaithai, adik kepada Timbalan Perdana Menteri Prawith Wongsuwan, Patcharawat Wongsuwan (PPRP), dan ketua parti UTN, Pirapan Salirathavibhaga.
Parti Pheu Thai, yang mengetuai gabungan 11 parti, memegang portfolio pertahanan, pengangkutan, perdagangan, kesihatan awam, ekonomi digital dan masyarakat, pelancongan dan sukan, kebudayaan dan kementerian luar.
Sementara itu, Parti Bhumjaithai, parti kedua terbesar dalam gabungan itu, memegang portfolio kementerian dalam negeri, pendidikan, buruh, pendidikan tinggi, sains, penyelidikan dan inovasi.
Parti Palang Pracharath juga memegang portfolio sumber asli dan alam sekitar, serta pertanian dan koperasi. United Thai Nation (UTN) akan menyelia tenaga dan industri.
Ketua parti Chart Pattana Kla Party, Varawut Silpa-archa telah dinamakan sebagai menteri pembangunan sosial dan keselamatan manusia manakala Setiausaha Agung Parti Prachachat Pol Kol Thawee Sodsong ialah menteri keadilan yang baharu.
Anggota Kabinet baharu seramai 33 ahli dijangka mengangkat sumpah di hadapan Raja Thailand dan menyampaikan kenyataan dasar di Parlimen. -TVS