KUCHING, 2 Sept: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) menggesa badan perlesenan, Music Right Sarawak Berhad (MRSB) bergait proaktif berperanan dalam memelihara hak cipta hasil pengkarya muzik negeri ini.
Timbalan Menterinya Datuk Snowdan Lawan berkata ia mengambil kira terhadap perkembangan industri muzik tempatan yang kian berkembang pesat dengan penghasilan lagu-lagu dalam genre etnik tempatan semakin meluas ketika ini.
Oleh itu amat wajar Sarawak mengurus sendiri hal yang berkaitan kutipan dan pengagihan royalti kepada anak-anak seni Bumi Kenyalang tanpa bergantung harap dengan badan pelesenan sedia ada.
“Majlis Seni Sarawak sahaja ada beratus program jadi itu sangat banyak (menggunakan karya mereka), ini belum termasuk tempat lain seperti di kopitiam dan bistro ada banyak lagi.
“Kamu (MRSB) perlu mendapat kepercayaan daripada para karyawan jika kamu mahu mengutip royalti agar hasil itu dikembalikam kepada mereka dengan adil.
“Bayangkan di Sarawak ini sangat banyak program hampir setiap hari diadakan. Dan bayangkan di setiap program itu semua lagu dimainkan tak kira lagu moden atau tradisional, semua ada,” tegasnya.
Snowdan berkata demikian ketika merasmikan Seminar ‘Karya Kamek Hak Kamek’ anjuran Music Right Sarawak Berhad di Kompleks Belia dan Sukan Kuching di sini pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, Snowdan turut mencadangkan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menggantung lesen perniagaan mana-mana premis yang didapati bersalah menjual produk cetak rompak.
“..kalau tak susah nak membanteras isu ini. Kadang-kadang mereka tidak kisah untuk membayar denda kerana jumlah denda kecil sahaja berbanding keuntungan yang mereka dapat.
“Untung sampai mencecah RM100,000 ke setengah juta jadi apalah sangat bayar denda RM10,000 atau RM30,000 mereka tak kisah,” tekannya lagi. -TVS