KUCHING, 2 September: Seorang lelaki rentung manakala dua lagi cedera dalam kejadian kebakaran di Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Gong, Siburan pagi tadi.
Kenyataan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak mendedahkan mayat mangsa ditemui di bilik tidur utama yang telah terbakar 100 peratus manakala kerosakan akibat letupan dianggarkan 80 peratus.
Menurut kenyataan itu lagi identiti mangsa yang maut masih belum dikenal pasti.
“Manakala seorang wanita luka di tangan akibat terkena kaca dalam kejadian tersebut.
“Pasukan bomba bertindak membuat pemadaman menggunakan teknik ‘offensive’ dengan membentang hos hantaran 300 kaki dengan satu pancutan dan api dapat dikawal pada jam 11:20 pagi, “ katanya.
Kenyataan menyatakan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan dan BBP Batu Lintang telah digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11:02 minit pagi.
Difahamkan kerja-kerja ‘overhaul’ dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca api dan kemudiannya pasukan penyelamat telah membawa keluar seorang mangsa yang rentung dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Manakala, dua mangsa yang cedera iaitu isteri mangsa dan seorang remaja perempuan telah menerima rawatan dari Unit EMRS. – TVS