SIBU, 2 Sept: Seorang kakitangan awam berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah hampir RM100,000 lesap selepas diperdaya sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pihak penghantar barang.
Mangsa wanita berusia 30-an itu terjerat selepas menerima panggilan telefon daripada individu berkenaan yang memperkenalkan diri sebagai pihak DHL Express Malaysia semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, mangsa dimaklumkan oleh suspek bahawa terdapat bungkusan atas namanya yang mengandungi lima keping kad pengenalan, lima keping kad ATM dan lima keping pasport.
Katanya, panggilan itu kemudiannya disambung kepada individu lain kononnya pegawai polis yang mengesahkan perkara itu dan bersedia untuk membantu mangsa menyelesaikan kes tersebut.
“Melalui perbualan telefon itu, mangsa dikehendaki membuat pemindahan wang sebanyak RM50,000 sebagai upah penyiasatan kes ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.
“Mangsa yang agak panik kemudiannya menuruti arahan suspek dengan membuat lima transaksi pemindahan wang berjumlah RM 99,700 ke dalam satu akaun bank tempatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa hanya menyedari telah diperdaya apabila dinasihatkan oleh ahli keluarga untuk melaporkan perkara tersebut ke balai polis berhampiran.
“Mangsa telah membuat laporan polis semalam dan pihak kami dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah membuat satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zulkipli juga menasihatkan orang ramai agar tidak mudah panik atau merasa cemas apabila menerima panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali mendakwa diri mereka dari mana- mana jabatan kerajaan atau institusi kewangan.
Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan ikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM dan buat juga semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/. -TVS