Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menyampai insentif kepada pelajar pada Majlis Penyerahan Insentif di Wisma Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI). Foto: TVS

132 pelajar dari DUN Pantai Damai terima Insentif Pelajar IPT

KUCHING, 2 Sept: Seramai 132 orang pelajar menerima insentif untuk melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di dalam dan luar negara pada Majlis Penyampaian Insentif Pelajar IPT kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.4 Pantai Damai yang juga merangkap Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata penyampaian insentif pelajar itu bertujuan bagi memberi bantuan kewangan untuk mengurangkan beban pelajar khususnya apabila memulakan pendidikan di IPT masing-masing.

Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi bergambar bersama penerima insentif dan tetamu lain. Foto: TVS

“Yang paling penting adalah dari segi kebajikan pendidikan kerana pelajaran sewaktu pelajar di IPT agak mencabar bagi sesetengah pelajar dan ibu bapa. Kos permulaan dan kos seterusnya ini perkara yang perlu kita hayati bersama.

“Ini bagi memastikan cabaran yang dihadapi dapat kita bincang dan atur supaya kita dapat menjaga dari segi kebajikan anak kita belajar dari awal sampai akhir tanpa sebarang masalah.

“Oleh itu, ini usaha yang hendak kita lakukan secara bersama-sama untuk menyokong dari segi kebajikan pelajaran anak kita,” katanya.

Tegasnya, Biro Pendidikan N.4 Pantai Damai dan Badan Muafakat Pendidikan Pantai Damai akan terus bekerjasama dan mengambil usaha serius untuk menangani masalah ketidakhadiran dan keciciran dalam kalangan pelajar sekolah di samping mencari usaha bagi memupuk minat pelajar untuk hadir ke sekolah.

“Contohnya, antara isu terkini yang masih belum dapat diatasi sepenuhnya dan selalu kita bincangkan bersama Badan Muafakat, Biro Pendidikan dan para guru di kawasan Pantai Damai ialah masalah ketidakhadiran dan keciciran.

“Jadi, apa yang penting ialah kita hendak menghidupkan suasana di sekolah dengan tarikan tambahan supaya pelajar suka untuk hadir ke sekolah, di mana ia sedang kita usahakan.

“Kita hendak melahirkan seramai boleh cendekiawan daripada anak-anak kita dalam semua bidang yang diperlukan untuk negeri yang maju pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sekali gus menyempurnakan Majlis Penyerahan Insentif di Wisma Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri- Isteri (SABATI) pada Sabtu.

Tambah beliau ia sejajar dengan saranan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk melahirkan anak-anak muda menjadi pemimpin yang berilmu untuk mentadbir negeri maju pada masa akan datang dalam semua sektor kehidupan.

Hadir sama isteri Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin, Pengerusi Badan Muafakat Pantai Damai merangkap Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg, Affida Helmi, Pengerusi Biro Pendidikan Pantai Damai, Siti Suhaila Majdi, Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Muafakat merangkap Pengetua SMK Santubong, Othman Ibrahim serta wakil yang lain. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan