Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli Persatuan Veteran Kebangsaan Malaya-Borneo Australia bersama ahli keluarga memperingati Ulang Tahun Pembebasan Kem Tahanan Perang Batu Lintang dan untuk mengenang Komander Kuching Force, Brigadier Tom Eaststick DSO di Kuching pada Jumaat. Foto: TVS.

Veteran Australia kembali bersama rombongan besar pada 2026

KUCHING, 1 Sept: Persatuan Veteran Kebangsaan Malaya-Borneo Australia (NMBVAA) berhasrat akan kembali ke Sarawak pada pada 2026 serta bercadang untuk membina satu plak lagi di Taman Memorial Pahlawan di sini sempena memperingati ulang tahun ke-60 berakhirnya konfrontasi Indonesia-Malaysia.

Presiden NMBVAA Cawangan Australia Selatan & Wilayah Utara, Paul Rosenzweig berkata majlis peringatan itu akan menyaksikan sambutan berskala besar pada tahun itu kelak.

Pada masa sama, Paul memberitahu kedatangan pihaknya nanti akan disertai anak cucu masing-masing untuk melawat Taman Memorial Pahlawan serta kem tahanan perang (POW) Batu Lintang di Kuching ini bagi menyaksikan acara memperingati pengorbanan para veteran.

“Kami mahu meneruskan legasi kepada generasi seterusnya untuk memperingati jasa veteran serta para pejuangnya yang terkorban membela Sarawak sebagai sebahagian daripada pasukan Komanwel semasa Konfrontasi Malaysia-Indonesia 60 tahun yang lalu.

“Selain itu rancangan kami seterusnya adalah untuk tahun 2026 yang merupakan ulang tahun ke-60 berakhirnya Konfrontasi, itu adalah peringatan besar dan kami akan mengumpul veteran serta lebih ramai lagi ahli keluarga mereka demi mengekalkan warisan tradisional itu untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri acara memperingati Ulang Tahun Pembebasan Kem Tahanan Perang Batu Lintang serta mengenang Komander Kuching Force, Brigadier Tom Eaststick DSO di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu ujarnya hubungan antara veteran dengan Sarawak amat erat susulan suatu ketika dahulu 11 warga Australia kehilangan nyawa sebagai pembela Sarawak.

“Semasa Konfrontasi dan Darurat Tanah Melayu, 71 warga Australia kehilangan nyawa, lima daripada mereka tidak mempunyai kubur yang diketahui, manakala 50 daripada mereka dikebumikan di Malaysia dan Singapura.

“Oleh itu, kami sangat berbesar hati untuk datang ke sini untuk mengadakan pertemuan semula dengan rakan-rakan kami untuk menghormati warga kami yang berkhidmat di sini untuk menghormati mereka yang terkorban tetapi khususnya untuk berterima kasih kepada Malaysia atas penghormatan kepada 37 warga Australia yang dikebumikan di tanah Malaysia yang anda jaga dan memperingati bagi pihak kami,” ujarnya.

Konfrontasi Malaysia-Indonesia berlangsung selama tiga tahun enam bulan susulan bantahan Indonesia terhadap pembentukan  Malaysia yang turut melibatkan Sarawak dan Sabah pada September 1963.

Selepas Presiden Indonesia Sukarno digulingkan oleh Jeneral Suharto pada tahun 1966, pertikaian itu berakhir dengan aman melalui beberapa siri rundingan damai dan akhirnya kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Perdamaian Malaysia-Indonesia pada 11 Ogos 1966 sekali gus menandakan Indonesia secara rasmi mengiktiraf Malaysia. – TVS

Berita Berkaitan

No data was found

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan

No data was found