Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) di Menara MITI, hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri), Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua, kanan), Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha MITI Datuk Seri Isham Ishak (kiri). Foto: Bernama.

Tingkat kualiti hidup rakyat dengan gaji lebih baik antara fokus NIMP 2030 – PM Anwar

ByBernama

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), komponen utama Ekonomi MADANI antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan jangkaan limpahan hasil yang lebih tinggi daripada sasaran ekonomi negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata ia termasuk pekerjaan dengan gaji yang lebih baik dan perkongsian kekayaan untuk membina masyarakat yang lebih adil dan makmur.

“Pewujudan peluang pekerjaan bernilai tinggi ini penting untuk menaikkan dan memperluaskan masyarakat kelas pertengahan.

“Arah aliran mega global seperti peningkatan peranan teknologi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kelestarian, anjakan demografi dan rantaian nilai globalisasi mengubah sifat pekerjaan,” kata Anwar semasa melancarkan NIMP 2030 di sini hari ini.

NIMP 2030, yang mengambil pendekatan berasaskan misi yang jelas dan akan merangsang bukan sahaja keseluruhan ekosistem sektor pembuatan tetapi juga seluruh negara untuk memacu transformasi perindustrian dan merealisasikan wawasan Malaysia.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata transformasi kemahiran adalah kunci untuk membangunkan kecekapan masa depan dan ini telah ditetapkan sebagai fokus strategi perindustrian negara.

“Bagi memenuhi permintaan industri, kita akan melaksanakan sistem gaji progresif yang menggalakkan pembangunan kemahiran dan kemajuan kerjaya.

“Kerjasama awam-swasta akan dipertingkatkan dalam program TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), memastikan pemerolehan kemahiran yang diperlukan oleh industri,” kata beliau.

Anwar berkata kerajaan yakin strategi dalam NIMP 2030 akan membuahkan hasil yang bermakna dan memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Dari segi pekerjaan, Perdana Menteri berkata pertumbuhan pada 2.3 peratus diunjurkan dari 2023, menyediakan pendapatan untuk 3.3 juta orang pada 2030.

“Trajektori pekerjaan yang semakin meningkat dalam industri disebabkan pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi ketika negara maju ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dan peningkatan dalam automasi dan kemajuan teknologi,” kata beliau

Beliau berkata menerusi NIMP, gaji median atau penengah upah untuk sektor pembuatan dijangka naik 9.6 peratus, mencecah RM4,510 daripada RM1,976, yang di bawah purata kebangsaan walaupun peranan dominan sektor itu dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Peningkatan 128 peratus daripada 2021 ini didorong oleh peralihan industri ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dan pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” tambahnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan