BETONG, 1 Sept: Betong diangkat sebagai destinasi pelancongan khususnya dalam industri sukan merupakan hasrat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu berkata penganjuran Layar Cycling Carnival (LCC) antara inisiatif pihaknya memperkenalkan kawasan Layar sebagai lokasi sukan pelancongan (sport tourism).
“Adalah menjadi hasrat Premier kita (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) untuk melihat Betong sebagai salah satu destinasi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
“Antara perkara yang menarik dalam Layar Cycling Carnival (LCC) ini ialah menjadikan kawasan Layar sebagai lokasi sukan pelancongan (sport tourism) melalui tempat bersejarah terutamanya Bukit Sadok,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Karnival Berbasikal Layar Edisi Ke-5,2023 di Betong, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Gerald mendedahkan Betong turut mempunyai banyak destinasi menarik berasaskan pelancongan kebudayaan, ekopelancongan, dan pelancongan pengembaraan.
Beliau menambah antara produk berpotensi lain juga merangkumi beberapa rumah panjang tradisional, budaya dan tradisi serta termasuk program inap desa.
Justeru itu, beliau mempelawa semua pihak untuk bekerjasama dalam menjadikan Betong antara destinasi pilihan pelancong pada masa akan datang.
Karnival Berbasikal Layar (LCC) tahun ini dianjurkan Jabatan Tanah & Survei Bahagian Betong dan Saberkas Layar dengan kerjasama Persatuan Berbasikal Sarawak. – TVS