KUCHING, 1 Sept: Kolej Universiti i-CATS berjaya menghasilkan makanan haiwan ternakan sebagai inisiatif membantu Kerajaan Sarawak ke arah meningkatkan keterjaminan makanan negara.
Pro Naib Canselor Industri, Perhubungan Komuniti dan Pengkomersilan Kolej Universiti i-Cats Professor Dr. Kopli Bujang berkata pendekatan tersebut sekali gus dapat mengurangkan harga kos makanan dan kebergantungan Sarawak terhadap import luar.
“Masalah pertama adalah pemeliharaan haiwan di Sarawak adalah kos makanan import yang tinggi, kita daripada i-CATS telah berjaya mencipta bahan makanan daripada daun sagu, rumput napier dan juga jagung.
“Berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap kambing ternakan, haiwan ternakan ini telah naik satu kilogram seminggu dengan protein yang tinggi dan haiwan ternakan pula bersifat lebih sihat,” katanya.
Professor Dr. Kopli Bujang berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Dalam pada itu Professor Dr. Kopli berkata, kunjungan tersebut juga bertujuan bagi membincangkan permohonan dana kolej tersebut bagi tahun 2024.
Kunjungan hormat itu diketuai Naib Canselor, Kolej Universiti i-Cats Prof. Dr Shahren Ahmad Zaidi Adruce. -TVS