Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri dijadual melalui perjalanan 2,154 kilometer menerusi Lebuhraya Pan Borneo bermula di Tawau dan berakhir di Telok Melano. Foto: UKAS

Kembara Kenali Borneo realisasikan impian Agong dekati rakyat Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Kembara Kenali Borneo, satu pengembaraan bagi mengenali lebih dekat rakyat Malaysia yang menetap di pedalaman Sabah dan Sarawak, bakal merealisasikan impian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk mendekati penduduk kedua-dua negeri itu.

Keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah untuk menelusuri Lebuhraya Pan Borneo dalam program pengembaraan yang pertama kali diadakan oleh seorang ketua negara, pastinya membuka peluang keemasan bagi rakyat di kedua-dua negeri untuk beramah mesra dan mengenali dengan lebih dekat pasangan diraja dan delegasi.

Kembara Kenali Borneo, bermula dari Tawau, Sabah hingga ke Telok Melano, Sarawak mulai 3 hingga 13 Sept, akan mencatat sejarah tersendiri dan pengalaman unik kerana pelbagai program serta aktiviti bersama rakyat dirancang seperti dihasratkan Seri Paduka untuk mengenali lebih dekat penduduk kedua-dua negeri yang kaya dengan adat resam, budaya dan seni kraf suku kaum.

Juruiring Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada Yang di-Pertuan Agong Brig Jen Datuk Mohamed Zahari Yahya, yang juga Ketua Pegawai Operasi Kembara Kenali Borneo, berkata beberapa program diatur untuk Seri Paduka berdua mendekati rakyat dan santap bersama dengan komuniti setempat, melawat tempat menarik dengan keunikan alam semula jadi dan tamu atau pasar harian yang sinonim dengan masyarakat setempat.

“Program-program ini tidak diminta oleh rakyat Sabah dan Sarawak. Tuanku (Seri Paduka berdua) sendiri yang menyatakan hasrat untuk melawat lokasi yang dipilih…dan mengambil peluang untuk melihat kawasan-kawasan lain (di Sabah dan Sarawak).

“Malah Tuanku turut menyatakan hasrat untuk sumbang kurnia kepada pihak yang memerlukan,” katanya kepada pemberita di Istana Negara, baru-baru ini.

Mohamed Zahari berkata Seri Paduka berdua turut berhasrat menikmati makanan tempatan Sabah dan Sarawak, selain ingin merasai pengalaman memandu sendiri kereta menelusuri Lebuhraya Pan Borneo seperti dizahirkan  Al-Sultan Abdullah semasa bertitah pada pembukaan sidang Parlimen, Februari lepas.

Beliau berkata Kembara Kenali Borneo membawa makna tersendiri kerana Yang di-Pertuan Agong ibarat simbol perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini, apatah lagi ia diadakan tatkala rakyat masih dalam suasana Bulan Kebangsaan, meraikan sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos dan menjelang Hari Malaysia pada 16 Sept.

“Kami berpendapat dengan kembara ini, Tuanku akan dapat merapatkan perhubungan antara rakyat dan perpaduan di Malaysia khususnya dalam masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Jelajah Kembara Kenali Borneo akan bermula dari Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak melibatkan jarak perjalanan sejauh 2,154 kilometer melalui Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Kembara Kenali Borneo realisasikan impian Agong dekati rakyat.

Selain Tawau, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadual singgah di lapan daerah iaitu  Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kundasang, Kota Kinabalu, Penampang, Sipitang dan Lawas, Sarawak pada tempoh 3 hingga 7 Sept sebelum memasuki Brunei.

Bagi laluan selanjutnya, Seri Paduka berdua dan rombongan dijadual memulakan perjalanan dari Miri pada 9 Sept dan menyertai aktiviti bermukun (bergendang), sukan dan kenduri rakyat di Pantai Bungai Bekenu, sebelum bergerak ke Bintulu, Tatau, Sibu, Sri Aman, Kuching dan akhirnya ke Telok Melano.

“Raja Permaisuri Agong turut bertitah bahawa baginda ingin melihat kraftangan rakyat tempatan,” katanya, merujuk antara pusat kraftangan yang akan dilawati Seri Paduka berdua iaitu di Penampang, Sabah dan Miri, Sarawak.

Selain itu, Mohamed Zahari berkata Tunku Azizah akan menyertai aktiviti memasak bersama komuniti setempat dalam Kembara Kenali Borneo seperti dihasratkan sendiri oleh Raja Permaisuri Agong.

“Berdasarkan perancangan setakat ini, ada dua tempat (aktiviti memasak diadakan) iaitu di Lahad Datu, Sabah dan Rumah Panjang Raymond Plen, Bintulu, Sarawak. Insya-Allah (penduduk setempat) akan dapat merasai masakan daripada air tangan Tuanku (Raja Permaisuri Agong),” katanya.

Mohamed Zahari berkata pihak Istana Negara mendapat kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah serta Sarawak bagi memastikan kelancaran dan aspek berkenaan berada pada tahap yang baik.

“Saya bagi pihak Istana Negara ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat, terutamanyaTimbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Kerajaan Negeri Sabah, Kerajaan Negeri Sarawak atas kerjasama baik yang diberikan bagi merealisasi dan menjayakan impian Tuanku berdua,” katanya.

Seri Paduka berdua dijadual berangkat ke Majlis Santapan Malam bersama Kerajaan Negeri Sabah di Kota Kinabalu pada 6 Sept dan Kerajaan Negeri Sarawak, Kuching pada 12 Sept. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan