KUCHING, 1 Sept: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memperkenalkan frasa ‘Sadrum’ yang tercetus selepas beliau teruja menyaksikan persembahan gabungan budaya oleh pelajar sekolah pada malam tadi.
Sadrum kata Premier Sarawak itu ialah gabungan sape dan dram.
Kata beliau, persembahan pelajar yang membawakan lagu terkenal Iban, “Bekikis Bulu Betis” dengan gabungkan petikan sape dan pukulan gendang telah memberi inspirasi mencetuskan idea budaya baharu itu.
“Saya cari satu perkataan yang menunjukkan apa dilakukan malam ini dan (perkataan itu) adalah Sadrum (gabungan) sape dan dram.
“Ini akan jadi budaya baharu, anda (pelajar) menghormati kepelbagaian budaya, sudah tentu masa depan Malaysia terjamin (kerana memiliki) pelajar muda (yang saling menghormati) ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Bola Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia ke-10 di sini.
Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.
Tambah Abang Johari, perkara itu merupakan anugerah terbaik pada 31 Ogos ketika Malaysia meraikan Hari Kebangsaan.
Sementara itu Abang Johari mahu pelajar meneroka lebih banyak penggunaan alat muzik tradisional pelbagai kaum bagi menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Sarawak memiliki ramai masyarakat Bumiputera yang belajar di sekolah Cina sekali gus memaparkan kemampuan masyarakatnya memahami sepenuhnya budaya lain,” katanya. -TVS