Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penyelam profesional, Jimmy Yong mendekati terumbu karang di sekitar Kenyalang Reef (Baram-8). FOTO: Jimmy Yong

SIRI AKHIR: ‘Rig-to-Reef’ kayakan biodiversiti marin Sarawak

ByFarah Diyana Samsuddin

ILHAM MANTAN TIMBALAN KETUA MENTERI SARAWAK

Bermula daripada struktur Baram-8 yang rosak akibat ribut telah merubah wajah pelantar minyak PETRONAS itu diselamatkan dan dinyahtauliahkan sebagai program sulung ‘Rig-to-Reef’ di Malaysia.

Cetusan idea mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Dr. George Chan Hong Nam itu telah mendorong Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) menjalin kerjasama bersama PETRONAS untuk melabuhkan ‘Rig-to-Reef’ (Baram-8 kepada Kenyalang Reef) di Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti pada 16 November 2004.

Mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Dr. George Chan Hong Nam (tengah) menyaksikan simbolik memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara PETRONAS dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) pada 7 Januari 2005. Foto: Daud Awang

Sekitar 13 tahun menyaksikan kejayaan Kenyalang Reef yang berhasil menjadi terumbu tiruan matang, PETRONAS sekali lagi memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama JPLS dengan menyahtauliahkan serta melabuhkan struktur pelantar minyak D30 (40 batu nautika dari Bintulu) dan DANA (18 batu nautika dari pantai Bungai, Miri) pada tahun 2017.

Sebelum melaksanakan program ‘Rig-to-Reef’ Baram-8, kebanyakan pelantar atau kemudahan luar pesisir PETRONAS telah ditamatkan perkhidmatan akan dibawa ke daratan bagi tujuan penyahtauliahan.

Situasi sedemikian menurut George yang merupakan Timbalan Ketua Menteri Sarawak ketika itu mendapat ilham agar pelantar minyak atau kemudahan berkaitan yang tidak berfungsi lagi dinyahtauliah menjadi tukun tiruan. 

“Dahulu saya sering diberitahu oleh para nelayan di Miri bahawa di sekitar pelantar minyak terdapat banyak ikan serta hidupan laut yang berkualiti tinggi.

“Namun ketika ia (pelantar minyak) masih berfungsi mesti syarikatnya tidak membenarkan para nelayan mendekati kemudahan itu atas faktor keselamatan dan bahaya walaupun di sekitar pelantar banyak hasil laut yang terbaik,” kata mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Miri itu ketika ditemu bual penulis menerusi aplikasi ‘Zoom’ pada 30 Ogos 2023.

Susulan itu kata George apabila mengetahui struktur pelantar minyak yang tidak berfungsi lagi akan dibawa ke daratan untuk dinyahtauliahkan telah membuahkan pemikiran beliau untuk mentransfromasikan pelantar kepada terumbu (Rig-to-Reef).

Kedudukan Baram-8 yang berada pada lapan batu nautika (bn) dari Tanjung Baram, Miri. FOTO: Daud Awang

Sekitar November 2002, beliau telah mengadakan perjumpaan bersama Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) sebagai wakil Sarawak bersama PETRONAS untuk memohon Baram-8 dinyahtauliahkan menjadi tukun tiruan.

“Ketika itu, PETRONAS menerima idea saya kerana saya yakin bahawa program ‘Rig-to-Reef’ amat sesuai dilabuhkan di persisir pantai namun tidak terlalu hampir dengan daratan (berdasarkan kajian JPLS) iaitu Baram-8 dilabuhkan menjadi Kenyalang Reef sekitar 11 batu nautika (bn) dari pantai Bungai, Miri,” ujarnya.

Paling menggembirakan kata George, setelah dua minggu ‘Kenyalang Reef’ dilabuhkan beliau telah dimaklumkan bahawa tukun tiruan itu berjaya mewujudkan biodiversiti dasar laut baharu sekali gus menjadi taman rekreasi skuba sehingga kini.

Kenyalang Reef kini antara taman rekreasi skuba yang paling digemari oleh para penyelam. Foto: Jimmy Yong

 

Sebagai perintis kepada idea ‘Rig-to-Reef’ di Sarawak, beliau optimis program yang telah diusahakan PETRONAS, JPLS dan Kerajaan Sarawak akan mendatangkan lebih manfaat kepada hasil perikanan, sosioekonomi serta menjana ekonomi baharu selepas ini.

“Saya gembira program ini berjaya hingga ke hari ini serta semua pihak berkaitan mengambil peluang menyuburkan habitat di dasar laut dan saya berharap lebih banyak program ‘Rig-to-Reef’ di Sarawak nanti,” ujarnya mengakhiri perbualan bersama penulis.

 

Mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Dr. George Chan Hong Nam ditemu bual penulis menerusi aplikasi Zoom.

 

‘RIG-RO-REEF’ BARAM-8, DANA DAN D30 JADI METROPOLIS MARIN

Sebagai pengkaji program ‘Rig-to-Reef’ Baram-8, DANA dan D30 serta penyelam profesional, Daud Awang mendedahkan keberkesanan tukun tiruan jenis ini terhadap ekosistem marin di Sarawak adalah melebihi 95 peratus.

“Peratusan ini diukur daripada segi kesan ekologi, faedah ekonomi dan faktor keselamatan ‘Rig-to-Reef’ ini secara keseluruhannya sejak ia dimulakan sekitar 20 tahun lalu,” katanya.

Penyelam profesional, Daud Awang merangkap pengkaji ‘Rig-to-Reef’ Baram-8, DANA dan D30. FOTO: Daud Awang

Beliau turut memberi jaminan bahawa ketiga-tiga program ‘Rig-to-Reef’ (Baram-8, DANA dan D30) di negeri ini kini berjaya membina ekosistem matang yang kini membawa pulangan lumayan kepada industri perikanan sekali gus menggayakan sektor pelancongan menerusi rekreasi skuba selain bertujuan pemuliharaan ekosistem marin.

“Kini dapat disaksikan Kenyalang Reef (Baram-8) serta DANA dan D30 menjadi limpahan ikan berkualiti seperti ikan tenggiri, ikan kunyit-kunyit, ikan kerapu, ikan daun baharu dan ikan hiasan atau ikan akuarium,” ujarnya sambil menggambarkan keindahan dasar laut.

Situasi serupa diakui oleh Pengajar Penyelam Skuba Miri, Jimmy Yong sambil menyatakan program ‘Rig-to-Reef’ (pelantar kepada terumbu) adalah inisiatif yang hebat dilaksanakan oleh pihak PETRONAS, JPLS dan Kerajaan Sarawak.

“Sebagai tenaga pengajar dan penyelam profesional, rekreasi skuba di sekitar ‘Rig-to-Reef’ adalah pengalaman yang menyeronokkan bagi komuniti penyelam skuba.

“Terumbu tiruan telah berjaya menarik perhatian pelbagai jenis hidupan marin dan pada masa sama telah menjadi tarikan kepada penyelam skuba,” katanya ketika dihubungi penulis.

Lensa kamera penyelam skuba profesional merakam pelbagai jenis ikan yang berada di Kenyalang Reef (Baram-8). FOTO: Jimmy Yong

Mendalami rekreasi skuba sekitar tujuh tahun, Jimmy juga meyakini ‘Rig-to-Reef’ telah menjemput ramai penyelam rekreasi skuba dari luar negara untuk datang ke Miri.

“Hasil pemerhatian saya ramai penyelam rekreasi pergi menyelam di lokasi ‘Rig-to-Reef’ oleh itu saya berharap selepas ini ada lagi projek pelantar kepada terumbu (Rig-to-Reef) dilaksanakan oleh pihak berwajib demi kelestarian ekosistem marin seterusnya mendatangkan pulangan positif kepada ekonomi negeri,”  ujarnya.

Jimmy melakukan rekreasi skuba di sekitar Kenyalang Reef (Baram-8). Foto: Jimmy Yong

SARAWAK MILIKI TERUMBU TIRUAN TERPANJANG DI DUNIA

Projek tukun tiruan di Sarawak kini merupakan penanda aras global sebagai projek terumbu tiruan terpanjang di dunia iaitu 746 kilometer (km).

Pengiktirafan berkenaan telah diumumkan oleh Yayasan Bebola Tukun Amerika Syarikat pada kunjungan hormat mereka kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 10 Julai 2023.

Menurut Abang Johari projek tersebut dilaksanakan di Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti menelan kos berjumlah RM8 juta dijayakan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan PETRONAS.

Beliau menyifatkan projek tukun tiruan di negeri ini merupakan inisiatif pemuliharaan biodiversiti sejajar visi jangka panjang Kerajaan Sarawak yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“Mata pencarian para nelayan di sekitar Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti kini telah meningkat susulan pelaksanaan projek eko marin ini.

“Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti juga telah diiktiraf sebagai salah satu lokasi menyelam yang terbaik di Sarawak,” kata beliau selepas menerima kunjungan hormat daripada deligasi terbabit di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia.

Len Talif mengiringi lawatan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke tapak tukun tiruan di perairan Belawai pada Ahad lalu. Foto: FB Len Talif

Abang Johari yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) melancarkan Pelan Tindakan dan Pelaksanaan (AIP) PCDS 2030 pada 7 Februari 2022 menegaskan Sarawak nekad membangunkan model perniagaan yang akan memberi tumpuan kepada memanfaatkan nilai sumber asli negeri untuk Sarawak mencapai taraf negeri termaju di Malaysia dalam tempoh lapan tahun mendatang.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata pengiktirafan daripada Yayasan Bebola Tukun Amerika Syarikat membuktikan komitmen tinggi kerajaan sarawak terhadap kelestarian alam sekitar dan pemuliharaan sumber asli.

“Projek ini juga hanya melibatkan kawasan tertentu sahaja dan bukan keseluruhan dari Tanjung Datu ke Lawas,” katanya sambil mendedahkan Kerajaan Sarawak giat menyemai terumbu karang bagi tujuan komersial.

 

PETRONAS MEMPERKAYAKAN BIODIVERSITI

Program ‘Rig-to-Reef’ akan menjadi norma dalam ruang penyahtauliahan kemudahan atau struktur pelantar minyak di seluruh negara.

Pengurus Besar Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Ariff Irfan Zainai berkata komitmen PETRONAS melaksanakan program ‘Rig-to-Reef’ berlandaskan usaha bagi mengembangkan perniagaan bermatlamatkan untuk menyumbang kepada masyarakat dan alam sekitar.

Pengurus Besar Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Ariff Irfan Zainai. FOTO: PETRONAS

Justeru itu, Ariff berkata hasrat berkenaan dijayakan dengan mengadakan MoU bersama Jabatan Perikanan Malaysia untuk membangunkan satu siri pelan induk terumbu di Sarawak, Sabah dan Terengganu.

“Kami (PETRONAS) dipandu oleh empat panduan kemampanan kami yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030. 

“Komitmen kami juga sejajar dengan Pernyataan Tujuan (Statement of Purpose) kami, rakan kongsi tenaga dan penyelesaian yang progresif, memperkayakan kehidupan demi membina masa depan yang mampan untuk negara,” katanya.

Menurut beliau lagi kejayaan program ‘Rig-to-Reef’ diukur melalui bilangan habitat marin yang berjaya diwujudkan oleh PETRONAS selain mempertingkatkan atau lindungi ekosistem sedia ada.

“Jadi untuk lima tahun akan datang, PETRONAS optimis mengadakan lebih banyak lagi program ‘Rig-to-Reef’ untuk memperkukuhkan ekosistem marin di seluruh negara,” ujarnya.

 

Seorang penyelam profesional membentangkan bendera PETRONAS ketika program ‘Rig-to-Reef’. FOTO: PETRONAS

Bersandarkan kepada inisiaitif PETRONAS serta pengalaman penulis yang berpeluang menyaksikan sendiri tukun tiruan yang dilabuhkan dan jalinan kerjasama bersama nelayan, pakar akuatik serta pemain industri marin termasuk perintis idea ‘Rig-to-Reef’ di Sarawak (mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Dr. George Chan Hong Nam) dapatan penulis adalah program ini berjaya mengubah status pelantar minyak usang kepada ‘Atlantis’ yang menjadi nadi kelestarian biodiversiti di Sarawak.

Tidak hanya memelihara dan memulihara ekosistem, ‘Rig-to-Reef’ turut menyemai faedah ekonomi sambil melindungi perairan Sarawak daripada limpahan eksploitasi komersial dan perubahan iklim untuk tatapan generasi akan datang.

SIRI 1: Pelantar minyak usang dinyahtauliah, sinar kepada laut Sarawak

SIRI 3: Tukun tiruan pulih ekosistem marin, tingkat sosioekonomi

SIRI 3: Tukun tiruan pulih ekosistem marin, tingkat sosioekonomi

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan