Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Durian otak udang di Bangunan Tamu Limbang menjadi buruan pengunjung termasuk dari Brunei. Foto: TVS

Musim durian otak udang di Limbang pikat pembeli dari Brunei

LIMBANG, 31 Ogos: Durian kuning otak udang yang ditanam di Limbang berjaya memikat pengemar raja buah tempatan itu termasuk dari Brunei.

Di sebalik harganya yang lebih mahal berbanding durian jenis lain, otak udang tetap diburu kerana memiliki keenakannya tersendiri.

Pembinaan lif di Bangunan Tamu Limbang siap, manfaatkan peniaga dan pengunjung

Seorang penjual, Saifurizal Mairat dari Kampung Pengkalan Rejab berkata, kehadiran musim buah kali ini membawa rezeki tambahannya kepadanya yang berniaga di Bangunan Tamu Limbang.

Katanya, buah itu unik kerana hanya boleh didapati di utara Sarawak.

Mohd Hasbi Rosli menunjukkan durian paling popular durian otak udang. Foto: TVS.

“Jumlah pembeli semakin bertambah terutama pada musim cuti sekolah dan antara yang dicari oleh mereka termasuk durian otak kuning,” katanya kepada TVS.

Saifulrizal Mairat dan isterinya Rohana menunjukkan durian kuning yang dijual dengna harga RM40 sebekas makanan. Foto: TVS.

Seorang peniaga, Mohd. Hasbi Rosli dari Kampung Sungai Poyan berkata, bagi memudahkan pelanggan, dia turut menjual durian otak udang yang telah dibungkus.

“Durian yang sudah dibungkus menjadi pilihan pengunjung.

“Ini kerana rasanya lebih sedap, segar, lemak serta manis berbanding durian putih,” katanya.

Selain durian otak udang, Mohd. Hasbi memberitahu di pasar berkenaan terdapat pelbagai jenis durian lain dan antara yang popular ialah durian udang galah, durian otak tenggiling, durian kahwin serta buah yang jarang dijumpai seperti binjai, tarap, mambangan dan sebagainya.

Durian kuning yang enak dijual di Tamu Khamis dan Jumaat. Foto: TVS.

Seorang pengunjung dari Brunei, Freddy Ho memberitahu, dia sanggup memandu lebih sejam dan menempuh kesesakan demi memenuhi selera untuk merasai keenakan durian otak udang dan buah tarap yang dijual di pasar berkenaan.

Kata Freddy, selain rasanya yang sedap, harga murah juga menyebabkan Limbang menjadi tumpuan pada musim buah-buahan.

Freddy Ho, pengunjung berbangsa Cina dari negara Brunei Darussalam datang berkunjung membeli buah-buahan di Limbang. Foto: TVS.

“Saya bersama isteri datang ke Limbang untuk melihat suasana pasar di sini. Buah yang paling saya suka ialah durian dan tarap. Kami suka membeli di sini kerana harganya yang murah,” katanya.

Sementara itu, Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat berkata, pihaknya membenarkan kumpulan peniaga buah di daerah ini untuk berniaga di tapak pasar berkenaan pada setiap hari sejak 24 Ogos lepas sempena musim buah di Limbang.

Sebelum ini katanya, tapak Tamu Khamis dan Jumaat yang berhampiran Medan Selera Limbang hanya beroperasi pada Khamis dan Jumaat saja. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan