Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Koperal (B) Kuda Anak Kandawang menunjukkan parut yang masih membekas akibat tembakan musuh pada 51 tahun lalu. Foto: TVS

Masih segar diingatan, 51 tahun lalu Kuda rebah ditembak komunis

ByFarah Diyana Samsuddin

Peluru penabur yang menembusi rusuk kanan memuntahkan isi daripada senjata api musuh menembusi perut, Koperal (B) Kuda Kandawang hampir rebah menyembah bumi.

Pandangannya berpinar namun sebelum tubuhnya longlai jatuh ke tanah, beliau pantas menarik senapang yang tidak jauh daripada kaki kiri kerana bagi anak Iban dari Balingian itu, berpantang maut sebelum ajal.

“Belum sempat komunis itu menyasar senjata ke arah saya dan kawan saya…entah di mana datang kekuatan, saya mampu melepaskan tembakan ke arah musuh yang berada lima depa dari kami,” katanya yang mula menyertai pasukan Polis Hutan ketika usia 25 tahun semasa ditemu bual TVS baru-baru ini.

Kuda yang kini berusia 83 tahun akui ingatannya masih segar mengingati peristiwa beliau bersama rakan platon yang lain telah diserang hendap sewaktu melakukan pengawalan perimeter hingga berlaku pertembungan secara terbuka dengan musuh.

 

Kuda menunjukkan buku nota beliau belajar perihal senjata api ketika menjalani latihan sebagai Polis Hutan. Foto: TVS

Peristiwa bersejarah itu kata Kuda, berlaku pada 12 Februari 1972 ketika beliau dan rakan platon membuat pengawalan perimeter untuk mendirikan khemah sejurus tiba di Tanjung Kuning, Sarikei dengan menaiki dua perahu untuk menyertai Ops Ngayaiu di Lubuk Bulat, Binatang (kini dikenali sebagai Bintangor).

Kembali berkongsi detik yang hampir kehilangan nyawa ujar Kuda selepas melepaskan tembakan tubuhnya terus rebah tetapi sempat disambut rakannya untuk dipapah menuju ke arah tiga jasad musuh yang sudah tidak bernyawa.

Ketika Kuda melihat jasad musuh, dalam pandangan berpinar beliau dapat meneliti dua daripadanya adalah lelaki dan seorang wanita masih nyawa-nyawa ikan.

“Induk (wanita) itu tidak mati…tubuhnya tidak masuk peluru…lut peluru,” kata Kuda penuh hairan memetik kembali cerita rakannya ketika musuh (wanita) itu ditahan, mereka telah menjumpai banyak kelongsong peluru yang telah digunakan dalam bag bimbit wanita itu.

MINUM DARAH MUSUH

Pada ketika itu, Kuda yang tidak berdaya lagi dan cedera parah telah disuruh oleh rakan platonnya untuk menghirup sedikit darah si mati (musuh).

“Rakan saya terus meraup darah musuh lelaki yang putus nyawa akibat tembakan saya dan menyuap sedikit darah merah pekat ke arah mulut saya sambil bertegas – minum darah ini.

“Setengah muka saya dibasahi darah komunis yang masih hangat dan payau rasa darah musuh itu melekat dalam rongga tekak…kata rakan ketika itu, minum darah musuh yang gugur ditangan kita adalah syarat untuk kita mempunyai semangat kering agar tidak gentar di medan perang,” ujarnya bercerita sambil menyentuh mulutnya dengan tapak tangan kanan bagi menggambarkan detik itu kepada penulis.

Kuda menunjukkan pakaian seragam ketika beliau masih berkhidmat masih di simpan rapi kepada penulis. Foto: TVS

Terdahulu, sebelum insiden tembakan berdarah itu, Kuda merupakan individu pertama dalam platonnya menjumpai dua bom jerangkap samar yang telah menyelamatkan enam anggota platon yang lain tanpa sebarang kecederaan.

Sejurus itu serangan hendap komunis dengan tembakan peluru tabur mengakibatkan darah tidak berhenti keluar dari rusuk dan perut, kata Kuda.

Menyaksikan pengorbanan Kuda yang hampir gugur di medan perang demi menyelamatkan mereka yang lain menjadikan rakan platonnya nekad membawa Kuda ke Sibu (dari Bintangor) untuk mendapatkan rawatan.

“Perjalanan dari Binatang (Bintangor) ke Sibu menggunakan bot laju…bayangkan betapa sakitnya saya ketika bot dihempas ombak ketika meredah arus menuju ke Batang Rajang.

“Mati saya Tuan…ucap saya perlahan kepada Tuan Patrick Bryan yang mengetuai platon ketika itu kerana bot laju terhempas ketika membelah arus sungai membuatkan saya kesakitan,” luahnya dengan nada sebak.

Menyedari Kuda yang kesakitan, ketua dan dua rakannya mengarahkan mereka bertukar bot dengan perahu panjang penduduk di sekitar sungai yang mereka lalui dan ketika di atas perahu baharulah Kuda mampu bertenang menahan bisa tembakan hingga selamat tiba ke Hospital Sibu ketika itu.

Antara koleksi gambar ketika Kuda masih berkhidmat sebagai Polis Hutan. Foto: TVS

“Apa yang saya ingat waktu itu, saya ditembak pada jam 2.10 petang dan jam 6 petang saya dibedah untuk mengeluarkan peluru yang melekat antara tulang rusuk saya serta menabur pecah dalam perut,” jelasnya.

Selepas tiga hari dirawat di Hospital Sibu, Kuda menceritakan beliau membuka mata melihat sekeliling bahawa dirinya terbaring sambil diperhatikan oleh Tuan Bryan, rakan platonnya Wan Ali dan beberapa orang anggota polis yang tidak dikenali.

Sambil berseloroh, kata Kuda rakannya, Wan Ali berkali-kali menyatakan,” Aku jaga kau (di hospital)…rasa jaga Gabenor sedang sakit”.

Kata-kata rakannya itu menggambarkan semasa beliau tidak sedarkan diri, jururawat yang merawatnya telah menyedari terdapat tiga orang komunis telah menyamar sebagai petugas hospital untuk menyelinap masuk mencari anggota yang cedera ketika Ops Ngayiau, iaitu Kuda.

TAKTIK KOTOR KOMUNIS

Hakikatnya, mereka datang ke hospital untuk membunuh Kuda namun niat jahat pihak Parti Komunis Kalimantan Utara (PARAKU) itu ujar Kuda berjaya dipatahkan apabila jururawat berkenaan menghubungi Kem Polis Lanang dan kerahan keselamatan secara aktif dikuatkusakan serta merta bagi memastikan tiada komunis menyamar sebagai orang biasa masuk ke kawasan hospital.

“Mereka (Komunis) tidak berputus asa mencari saya, beberapa hari selepas itu, Kem Polis Lanang pula diceroboh apabila kawat berduri diputuskan oleh komunis untuk membuat persediaan menyerang,” jelasnya ketika itu beliau masih di hospital masih dikawal rapi.

Langkah pihak polis lebih pantas kata Kuda yang mengetahui gerakan komunis itu dan akhirnya membawa kepada pembongkaran besar-besaran modus operandi mereka (komunis) di Sibu.

“Hasrat mereka ingin membunuh saya tetapi tersilap langkah hingga menyaksikan lebih 300 orang komunis yang menyamar sebagai orang awam berjaya ditangkap iaitu kebanyakan menyamar menjadi tukang kebun dan peniaga di pasar,” kata Kuda.

Paling menggerunkan kata Kuda, ketika masih dirawat di hospital, komunis pernah memecah masuk kediamannya di kuarters Sibu yang ketika itu hanya isteri dan dua anaknya yang masih berusia lima dan enam tahun sahaja di rumah.

“Isteri saya menjerit dan jeritannya didengari oleh jiran dan mereka datang ke rumah tetapi komunis sempat melarikan diri,” luahnya dalam nada marah.

Akibat kecederaannya memakan masa untuk sembuh, Kuda juga tidak berupaya untuk bertugas di lapangan dan bertempur lagi oleh itu beliau ditugaskan melakukan kerja di pejabat sehingga bersara.

“Enam bulan selepas itu saya dipindahkan ke Pantu, sebagai Intelligent dan berkhidmat di pejabat saja,” jelasnya beliau mengalami kecacatan struktur tubuh sementara akibat tembakan itu iaitu tubuh tidak dapat ditegakkan dan membongkok untuk tempoh masa yang lama.

Kuda menunjukkan potret kenangan yang dirakam ketika beliau masih berkhidmat. Foto: TVS

Sebelum Operasi Ngayiau, Kuda pernah berkhidmat sebagai Pengawal Kem ketika perang Ganyang Malaysia semasa berlakunya konfrontasi Indonesia-Malaysia di Engkelili pada tahun 1965.

Selama 31 tahun 3 bulan menabur jasa, Kuda pernah menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara pada tahun 2019 daripada mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin yang ketika itu Menteri Pertahanan.

Sebagai pejuang yang rela menggadai nyawa demi negeri tercinta ini, Kuda menitip pesan kepada generasi muda agar terus mencintai Sarawak serta negara ini demi kesejahteraan rakyat bersama.

“Jika kami dahulu menjaga Sarawak dari serangan musuh komunis, anak muda jagalah Sarawak daripada belenggu anasir luar negatif yang boleh menggangu gugat keamanan negeri ini hingga boleh memudarkan rasa cinta kita kepada Sarawak,” tegasnya penuh khuatir.

Dalam pada itu, Kuda berharap nasib Bujang Berani sepertinya dan rakan seangkatan yang lain tetap dikenang selagi nyawa dikandung badan.

“Hargailah kami selagi masih ada dan janganlah membiarkan kisah perjuangan kami terkubur bersama kematian kami kelak,” luahnya penuh sebak.

HARGAI WIRA NEGARA

Hasrat pejuang tanah air seperti Kuda tidak dipandang sepi oleh pihak kerajaan kerana pengorbanan serta penat lelah mereka suatu ketika dahulu yang berjaya mematahkan cengkaman dan belenggu penjajah daripada bermaharajalela di negara ini telah mendapat perhatian Kerajaan Sarawak.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan Jawatankuasa Bertindak Persatuan Polis Sarawak dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Sarawak ditubuhkan baru-baru ini (Ogos 2023) bagi menghargai jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan barisan wira negara di negeri ini.

Selaku pengerusi beliau mendedahkan jawatankuasa berkenaan ditubuhkan bagi meneliti semula penghargaan untuk dianugerahkan kepada para wira negara.

Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Foto: Faitullah Morni (TVS)

 

“Jawatankuasa bersama ini penting untuk memohon kepada kerajaan negeri memberi penghargaan dengan meneliti beberapa aspek.

“Salah satu ialah penghargaan Kerajaan Sarawak yang harus diberikan kepada para pejuang negara ini,” katanya ketika ditemui TVS selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Mejar (B) Micheal Riman Bugat di Dewan Suarah, Kuching, pada 9 Ogos 2023.

Beliau mendedahkan dapat disaksikan ramai pejuang keamanan berani bergadai nyawa melawan penjajah dan komunis sekitar tahun 1952.

“Sejak dari itu ada kerja-kerja polis dan tentera tidak diketahui umum. Walaupun mereka (polis dan tentera) sentiasa mengukir senyuman di muka, tetapi pada masa yang sama sibuk memikirkan cara untuk mempertahankan negara agar tidak kacau-bilau,” tegasnya.

Justeru itu, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) itu mahu penganugerahan selayaknya dikurniakan kepada barisan pejuang sebagai tanda penghargaan terhadap mereka.

Selain penghormatan terhadap mereka yang telah meninggal dunia disemadikan di Makam Pahlawan Jalan Taman Budaya, Kuching, Sarawak, beliau turut mahu waris wira negara mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya.

Wan Junaidi dalam pada itu memetik contoh seperti mendiang Mejar (B) Micheal Riman Bugat yang telah dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Yang Di-Pertuan Agong Sultan Iskandar Sultan Ismail pada 6 Jun 1984.

Beliau mengakui pingat berkenaan adalah bertujuan untuk menghargai jasa Micheal bersama rakan sepasukan mendiang Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau dalam Batalion Ke-8, Rejimen Renjer Diraja (RJR) yang terbabit dalam beberapa pertempuran dengan pengganas komunis termasuk pertempuran sengit di Gopeng, Perak pada 1 Jun 1979.

Disemadikan di Makam Pahlawan Jalan Taman Budaya, Kuching, Sarawak, Micheal menghembuskan nafas terakhirnya akibat penyakit buah pinggang pada 7 Ogos 2023.

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan