KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Malaysia dan Australia berbincang mengenai ruang mengeratkan lagi hubungan baik dua hala terutama menerusi kerjasama ekonomi digital dan industri kreatif.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menerusi laman Facebooknya malam tadi berkata perkara itu dibincang ketika beliau menerima kunjungan hormat daripada Gabenor Australia Selatan Frances Adamson di pejabatnya petang semalam.
“Saya juga berkesempatan menerangkan mengenai persiapan kerajaan dalam menyambut Hari Kebangsaan 2023 yang akan berlangsung esok (hari ini) ,” katanya.
Delegasi Adamson diiringi oleh Simon Fellows, Kuasa Usaha Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia dan para pegawai kanan Kerajaan Australia. -TVS