MUKAH, 31 Ogos: Sarawak terus melangkah berani dalam meneroka ekonomi baharu untuk pembangunan masa depannya ke arah menjadi negeri berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam menerokai ekonomi baharu itu telah dipamerkan menerusi rombongan ke beberapa negara Eropah untuk mempelajari beberapa perkara berkepentingan.
“Rombongan Kerajaan Sarawak diketuai saya ke Norway dan United Kingdom (UK) meninjau teknologi serta perundangan membabitkan inisiatif Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di sana.
“Di Sweden pula, kami meninjau industri tenaga di sana yang melibatkan pengagihan tenaga merentas sempadan negara kerana ini penting kepada Sarawak yang amat berpontensi menjadi pengeksport tenaga kepada negara-negara jiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan 2023 di Politeknik Mukah, hari ini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah serta Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Berkongsi lanjut mengenai lawatan berkenaan, Abang Johari berkata, delegasi Kerajaan Sarawak juga mendapat input berkenaan Waste-To-Energy (WTE) yang signifikan dalam usaha mencari penyelesaian kepada sistem pelupusan sampah buangan yang lebih mampan di Sarawak untuk menghasilkan tenaga hijau.
Abang Johari menambah, kestabilan politik dan keutuhan kerajaan di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memberi ruang kepada Sarawak untuk melakar hala tuju yang jelas dari segi pembangunan ekonomi, khususnya melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).
“Sejak 2017, Kerajaan Sarawak telah melaburkan banyak dana untuk pembangunan digital, infrastruktur di bandar dan luar bandar, sumber manusia dan pendidikan, penjanaan tenaga yang boleh diperbaharui, penyertaan dalam sektor minyak dan gas bidang-bidang baru khususnya ekonomi hijau, ekonomi hidrogen, perniagaan karbon dan CCUS.
“Semua ini bertujuan untuk membolehkan ekonomi negeri ini berkembang dengan lebih pantas ke tahap yang tinggi supaya hasil negeri ini bertambah dan rakyat boleh mendapat pekerjaan dengan gaji yang lumayan,” jelasnya. – TVS