BATU KAWAN, 31 Ogos: Kembar tiga seiras mencuri tumpuan orang ramai apabila hadir berbaju sedondon menyaksikan Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2023 peringkat Pulau Pinang di Stadium Negeri di sini hari ini.
Puteri Dhia Muhammad, Puteri Dian dan Puteri Diyana, 2, berpakaian berwarna merah lengkap dengan beg tangan bersama dua lagi kakak mereka berusia lima dan tujuh tahun.
Mereka ditemani bapa, Muhammad Ahmad, 32, dan ibu, Noor Hidayah Ibrahim, 31.
Biarpun masih kecil, tiga beradik itu teruja mengibarkan Jalur Gemilang saat menyaksikan perbarisan perarakan termasuk persembahan tempur tanpa senjata (TTS) oleh Tentera Darat Malaysia.
Noor Hidayah berkata, anak-anaknya teruja apabila hadir kali pertama menyaksikan acara tersebut dan bersiap awal untuk keluar dari rumah di Parit Buntar, Perak.
“Agak sukar mengendalikan anak-anak yang masih kecil, tetapi demi menerapkan semangat kebangsaan kepada mereka, kami hadir pada hari ini.
“Saya lega kerana semuanya berjalan lancar dan mereka juga sangat teruja dan bersiap seawal subuh lagi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Acara yang dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow itu menyaksikan persembahan 92 kontinjen perbarisan dan 25 kontinjen kenderaan.
Dianggarkan kira-kira 10,000 rakyat berbilang kaum hadir menyaksikan acara tersebut. – TVS