SIBU, 31 Ogos: Bike Show 2023 yang dianjurkan bersempena Sibujaya Bike Week 2023 mampu menjadi tarikan bagi peminat permotoran di Sarawak untuk datang ke Sibujaya.
Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai berkata, penganjuran acara tersebut bukan sahaja disertai oleh peserta dari Sibu malah ada yang datang dari Kuching, Sarikei dan Kapit.
Jelas beliau, sambutan memberangsangkan menjadi bukti kejayaan penganjuran acara itu.
“Saya berasa kagum dan bangga kerana penganjur berjaya menarik ramai peserta dari luar Sibu.
“Tujuan kita menganjurkan Sibujaya Bike Week 2023 ini adalah untuk memperkenalkan Sibujaya dan Sibu kepada penduduk dari kawasan lain di Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Bike Show 2023 di tapak Sibujaya Bike Week di sini hari ini.
Sempurai Petrus berkata, Sibujaya juga berpotensi menjadi hab untuk pertandingan permotoran di Sarawak sekali gus produk pelancongan di Sibu.
“Kita tahu terdapat trek bertaraf antarabangsa di Sibujaya. Oleh itu, saya berharap supaya pada masa hadapan, Bike Show di sini dapat dianjurkan pada skala yang lebih besar lagi,” katanya.
Seramai 30 peminat motosikal dari seluruh Sarawak menyertai Pertandingan Bike Show sempena Sibujaya Bike Week 2023 tersebut.
Terdapat enam kategori yang dipertandingkan iaitu Cub Standard Modify, Cub Extreme/ Racing Modify, Scooter Standard Modify, Scooter Extreme/ Racing Modify, Best Airbrush dan Best Sticker.
Pemenang bagi setiap kategori akan membawa pulang trofi, hamper dan baucar bernilai RM100. – TVS