MUKAH, 31 Ogos: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluahkan kekecewaan beliau susulan pertelingkahan berterusan dalam kalangan pemimpin di negara ini demi meraih sokongan politik.
Ini kerana menurut Premier Sarawak itu, pertelingkahan hanya akan membawa Malaysia kepada kehancuran.
Sehubungan itu Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggesa semua pihak tidak terus bercakaran sesama sendiri kerana ia menyebabkan perpecahan membabitkan perbezaan agama, bangsa, keturunan dan wilayah.
“Jika kita saling syak mengesyaki antara satu sama lain dan asyik ‘berbentes’ seperti kata Allahyarham Tok Nan (Pehin Sri Tan Sri Adenan Satem) maka tenaga dan pemikiran kita hanya ditumpukan untuk mengalahkan pihak lawan.
“Saya berasa agak sedih kerana kebelakangan ini negara tidak begitu berupaya untuk memfokuskan tenaganya untuk kemajuan keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan 2023 di Politeknik Mukah, hari ini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah serta Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata terdapat juga pemimpin yang kelihatan terdesak untuk menggunakan isu kaum dan agama yang boleh memecahbelahkan masyarakat majmuk semata-mata untuk meraih sokongan politik.
“Sudah pastinya ini tidaklah baik untuk negara ketika dunia bergelut dengan pelbagai masalah khususnya pandemik COVID-19, perperangan dan perubahan ilklim global.
“Seluruh negara sepatutnya bersatu untuk menghadapi permasalahan ini,” tegasnya.
Sementara itu mengulas mengenai Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, Abang Johari berkata banyak kemajuan yang telah dicapai negara yang turut melibatkan Sarawak.
“Dalam tempoh 66 tahun, walaupun masih terdapat banyak ruang untuk mengisi erti kebebasan dan kemerdekaan kita, tidak dapat dinafikan banyak kemajuan telah dicapai oleh negara dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia jika dibandingkan dengan negara-negara lain di rantau ini,” jelasnya.
Dalam ucapannya juga, beliau turut menekankan bahawa kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 adalah sama penting dengan kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963 keranatela h mencetuskan idea dan usaha untuk menggabungkan Tanah Melayu dengan Sarawak dan Sabah, termasuk Singapura untuk menubuhkan sebuah negara baharu pada 16 September 1963 yang dinamakan Malaysia. -TVS